
Menyahut kesediaan Gabungan Rakyat Sabah bertanding PRN secara solo, DLP berkata ia berkongsi komitmen Pengerusi GRS Hajiji Noor pada mengutamakan hak-hak Sabah, identiti negeri itu, dan pentadbiran dipimpin parti-parti tempatan.
“Idea Sabah dipimpin oleh parti tempatan bukan sekadar strategi politik — ia adalah satu keperluan yang berakar dalam aspirasi, budaya, dan realiti yang unik kepada rakyat negeri ini,” menurut kenyataan.
Bagi LDP, sebarang penyimpangan daripada prinsip itu akan merugikan rakyat Sabah, yang lantang menyuarakan keinginan pada kepimpinan oleh parti tempatan, yang memahami dan memperjuangkan keperluan mereka tanpa kompromi.
“LDP percaya pada Sabah yang tegak berdiri — bukan untuk menentang kerajaan persekutuan tetapi mempertahankan autonomi yang sah dan agenda pembangunannya,” kata Presiden Chin Su Phin.
Terdahulu, GRS mengumumkan ia bersedia untuk bertanding secara solo dan fokus pada kerjasama dengan parti-parti tempatan, sekiranya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.
GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan ini dalam menghadapi PRN.
LDP mengumumkan kesediaan untuk terlibat dalam dialog membina dengan parti-parti tempatan yang berkongsi komitmen pada kemajuan, perpaduan, dan pembangunan jangka masa panjang Sabah.
Terdahulu dilaporkan BN dan PH sah bekerjasama pada PRN Sabah, diputuskan dalam mesyuarat antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi semalam.
Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan.
Penggal DUN Sabah akan berakhir pada November ini dan PRN perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas pembubarannya.