Nurul Izzah tak minat jawatan menteri jika menang timbalan presiden PKR

Nurul Izzah tak minat jawatan menteri jika menang timbalan presiden PKR

Nurul Izzah Anwar juga berkata inilah saat untuk kembalikan 'ideologi asal' parti.

nurul izzah anwar rafizi
Nurul Izzah Anwar mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan hujung bulan ini sekali gus mencabar kedudukan disandang Rafizi Ramli. (Gambar facebook)
PETALING JAYA:
Nurul Izzah Anwar berkata beliau tidak berminat dengan jawatan dalam Jemaah Menteri jika menang persaingan timbalan presiden dalam pemilihan PKR hujung bulan ini.

Naib presiden PKR memaklumkan pernah menolak tawaran jawatan menteri selepas PRU14, kerana ia lantikan perdana menteri dalam Jemaah Menteri dianggotai ibunya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu.

“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat, menurut semakan di laman sesawang pemilihan PKR.

Ramai pemimpin tertinggi pusat dan bahagian menyatakan sokongan kepada pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan nombor dua parti, yang dimenangi Rafizi Ramli pada 2022 selepas menewaskan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail.

Nurul Izzah berkata, keputusan bertanding dalam jawatan timbalan presiden adalah bagi memperkukuhkan parti menjelang PRU16.

Katanya, jika dipilih mengisi jawatan itu, misi utama adalah saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di bahagian khususnya di 50 kerusi marginal.

Tegas Nurul Izzah, PKR hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan peringkat bahagian dan jentera akar umbi, menerusi kempen, khidmat dan strategi penerangan efektif.

Beliau juga berkata: “Inilah saatnya untuk kita mengembalikan ideologi asal parti kita, demi menyatukan semula kekuatan PKR dengan roh perjuangan asal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.