GRS sedia tanding solo PRN Sabah

GRS sedia tanding solo PRN Sabah

GRS umum ia sedia tanding solo sekiranya PH dan BN bekerjasama dalam PRN akan datang.

Hajiji
Pengerusi GRS Hajiji Noor bertegas kerajaan Sabah harus dipimpin parti tempatan yang memahami realiti, budaya, dan keperluan rakyat.
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah mengumumkan ia bersedia untuk bertanding PRN Sabah secara solo, sekiranya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

GRS menegaskan bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri, berpegang pada prinsip kerajaan Sabah harus dipimpin parti tempatan yang memahami realiti, budaya, dan keperluan rakyat.

“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” menurut kenyataan Pengerusi GRS Hajiji Noor.

“Sekiranya keputusan muktamad PH dan BN adalah untuk bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.”

Sehubungan itu, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan ini dalam menghadapi PRN, katanya.

GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri semasa, untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka.

Terdahulu dilaporkan BN dan PH sah bekerjasama pada PRN Sabah, diputuskan dalam mesyuarat antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi semalam.

Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan.

Penggal DUN Sabah akan berakhir pada November ini dan PRN perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas pembubarannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.