Buat usul bantah ‘formula 14+14’, pemimpin DAP beritahu Akmal

Buat usul bantah ‘formula 14+14’, pemimpin DAP beritahu Akmal

Kerk Chee Yee berkata cadangan agihan kerusi sama rata oleh sembilan cawangan DAP adalah hak demokrasi dan kebebasan bersuara.

Kerk Chee Yee cadang Dr Akmal Saleh buat usul bantahan berkait agihan kerusi PH-BN dalam mesyuarat tahunan Umno.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP Melaka mencadangkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh membuat ‘usul rasmi’ bagi membantah cadangan agihan kerusi sama rata jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama pada PRN akan datang.

Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee, berkata ‘formula 14+14’ dicadangkan sembilan cawangan parti itu baru-baru ini adalah hak demokrasi dan kebebasan bersuara.

“Sekiranya Akmal tak setuju dengan cadangan itu, beliau juga boleh buat usul berkenaan dalam mesyuarat tahunan cawangan beliau (partinya),” katanya kepada FMT.

Kerk yang juga Adun Ayer Keroh turut mengesahkan DAP Melaka belum membincangkan secara lanjut cadangan oleh sembilan cawangannya.

Cawangan itu adalah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.

Dalam kenyataan bersama, semua cawangan menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 DUN Melaka, selari semangat kerjasama dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Setakat ini tiada perbincangan mengenainya di peringkat DAP atau PH Melaka.

“Saya sendiri hadir AGM sembilan cawangan itu ketika usul terbabit dibincang dan diluluskan, cadangan dibuat berdasarkan keputusan PRU15 yang menyaksikan PH mendapat sokongan kukuh di Melaka,” kata Kerk.

Semalam, Akmal yang juga Adun Merlimau berkata BN Melaka tidak akan sesekali melepaskan sebahagian kerusi dimenanginya pada PRN lalu kepada DAP.

Merujuk laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘9 cawangan DAP Melaka’ meluluskan strategi 14BN+14PH pada PRN akan datang, Akmal menegaskan parti itu boleh ‘terus bermimpi’.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan pecahan BN (20), PH (5) dan PN (3).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.