
“Tiada pemenang sebenar dalam pertandingan ini jika ia berlaku,” kata seorang sumber kanan parti.
“Kalau Rafizi menang, akan ada yang kata beliau sudah tidak mendapat keyakinan penuh parti. Kalau Nurul Izzah menang, pengkritik akan kata ia kerana pengaruh bapanya. Kalau dia kalah, orang akan kata anak perdana menteri pun tidak mampu kalahkan Rafizi.”
Persaingan kepimpinan parti semakin panas menjelang penamaan calon hari ini, dengan Rafizi menyatakan hasrat mempertahankan jawatan timbalan presiden, manakala spekulasi semakin meningkat bahawa Nurul Izzah – anak kepada presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim – mungkin didesak untuk mencabar Rafizi susulan rasa tidak puas hati dalaman dan insiden dalam pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini.
Dilaporkan Rafizi, yang juga menteri ekonomi, hadir ke pejabat kementeriannya seperti biasa pada Selasa, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri selepas mengambil cuti baru-baru ini.
Sumber itu berkata pada awalnya, pertandingan timbalan presiden dijangka menyaksikan pertembungan semula antara Rafizi dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail, namun pertemuan antara kedua-dua mereka baru-baru ini mungkin menyebabkan Saifuddin menarik diri daripada bertanding.
Sumber itu juga berkata persaingan jawatan timbalan presiden pada mulanya dilihat antara Rafizi dan Saifuddin, namun ‘gerakan dalaman telah menaikan nama Nurul Izzah’.
Rafizi sebelum ini menewaskan Saifuddin dalam saingan sengit bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan 2022, dengan kempen berteraskan reformasi dan akauntabiliti dalaman. Kemenangan itu mengukuhkan peranan Rafizi sebagai tokoh utama dalam kem reformis PKR, namun turut meninggalkan kesan perpecahan dalam parti.
Pertembungan terus antara anak perdana menteri dan seorang menteri boleh menjadi dilema politik buat Anwar, yang sekian lama menekankan perpaduan parti dan agenda reformasi.
Penamaan calon bagi pemilihan parti dibuka hari ini dan esok, dengan pengundian dijadualkan berlangsung pada 23 Mei.
Nurul Izzah menyertai politik selepas pemecatan Anwar pada 1998 yang mencetuskan gerakan reformasi dan membawa kepada penubuhan PKR.
Beliau sebelum ini berkata akan bertanding jawatan naib presiden PKR tahun ini, jawatan yang dipegangnya melalui lantikan selepas tidak bertanding dalam pemilihan 2022.
Bagaimnapun, insiden dalam pemilihan peringkat bahagian – termasuk masalah teknikal dan dakwaan salah urus undi – mencetuskan spekulasi bahawa ada pihak dalam parti tidak berpuas hati dengan kepimpinan Rafizi dan kini mendesak Nurul Izzah menyertai persaingan.
Rafizi semalam berkata beliau bersedia melepaskan jawatan dalam parti dan Kabinet serta fokus kepada kerja akar umbi sekiranya tidak dipilih semula dalam pemilihan kali ini.
Pemimpin seperti Ketua PKR Selangor Amirudin Shari dan Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menyuarakan sokongan agar Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden, selain turut mendapat sokongan dari bahagian di Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, dan Sarawak.
Bagaimanapun, Nurul Izzah masih berteka-teki tentang hasratnya untuk bertanding. Semalam, Nurul Izzah berkata beliau menghormati pandangan akar umbi dan pemimpin yang menyarankan beliau menyertai saingan jawatan nombor dua dalam parti, sambil menambah beliau akan beri ‘keputusan terbaik’.
Seorang lagi pemimpin parti berkata ketidaktentuan sama ada Nurul Izzah akan bertanding memberikan gambaran kurang baik kepada PKR.
“Orang ramai sedang perhatikan PKR. Kita adalah parti pemerintah sekarang. Kita tidak mampu biarkan ketidaktentuan dalaman ini tersebar ke ruang awam dan berlarutan,” kata sumber yang rapat dengan kepimpinan parti.
“Nampak macam satu langkah ‘ad hoc’. Tiada siapa jangka nama Nurul Izzah akan muncul. Tapi kalau beliau bertanding… bagus juga ada saingan.”