
Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian berlaku selepas warga emas berusia 70 tahun itu menyertai satu kumpulan perniagaan di WhatsApp apabila tertarik dengan pelaburan menguntungkan di media sosial.
Katanya, mangsa juga diberikan penerangan mengenai bagaimana untuk melabur, jumlah modal dan jumlah keuntungan sebanyak 200% yang bakal diperolehnya dalam tempoh tiga bulan.
“Oleh kerana tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah melakukan sebanyak 14 transaksi kepada lima akaun bank berbeza berjumlah RM186,800 bermula dari 25 Januari 2025 hingga April 2025.
“Mangsa kemudiannya telah diberikan satu pautan bagi tujuan membuat semakan keuntungan yang diperoleh dan mendapati pulangan pelaburan sebanyak RM446,786.89 telah dimasukkan sebagaimana yang dijanjikan.
“Bagaimanapun, mangsa diminta untuk membayar pula sebanyak RM22,339.34 bagi menebus pulangan tersebut. Hal ini membuatkan mangsa mula berasa curiga dan menghubungi individu yang menawarkan pelaburan berkenaan kepadanya sebelum ini tetapi gagal,” katanya, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
“Orang ramai dinasihatkan jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang sukar dipercayai dan mengambil langkah berhati-hati terutamanya dalam urusan transaksi kewangan,” katanya.