
Pengerusi BN yang juga presiden Umno berkata, rundingan secara terperinci mengenai perkara itu akan diadakan nanti.
“Adalah terlalu pramatang untuk membuat keputusan (agihan kerusi).
“Kita akan mengadakan perundingan lebih terperinci mengenai pembahagian dan kerusi DUN bakal ditandingi,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais Asean (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick yang juga pengerusi PH Sabah.
Zahid mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, yang ‘mengesahkan’ BN akan bertanding 40 daripada 73 kerusi DUN pada PRN tahun ini, yang turut dipersetujui PH.
Suhaimi dilapor berkata, baki 33 kerusi diberikan kepada PH dan proses saringan calon sedang berlangsung ketika ini.
Bagaimanapun, PKR Sabah berkata PH masih tidak bertemu BN secara rasmi untuk membincangkan isu kerjasama PRN.
“Kami tidak tahu dari mana Suhaimi dapat angka 40 kerusi dan kita tidak tahu dengan siapa beliau berbincang,” menurut Ketua Penerangan Razeef Rakimin.
Katanya, gabungan itu masih belum bertemu BN mahupun Gabungan Rakyat Sabah secara rasmi bagi membincangkan isu kerjasama pilihan raya ‘apatah lagi agihan kerusi’.
Pada 25 April lalu, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dilapor berkata rundingan dalaman dengan PH berkait kerjasama PRN akan datang sudah bermula.
Menurut Daily Express, Bung berkata kedua-dua pihak memberi maklum balas positif terhadap idea kerjasama tersebut, dan perbincangan kini tertumpu kepada perincian teknikal bagi menyelaras strategi.