
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata perubahan itu selaras amalan baik yang disarankan oleh organisasi antarabangsa dan diguna pakai oleh negara maju.
“Perubahan dasar ini akan memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi juga kepada majikan dan pekerja asing,” menurut kenyataan, selepas mesyuarat pengurusan pekerja asing bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Sebelum ini, kerajaan hanya membenarkan pertukaran majikan dalam sektor penggajian yang sama sahaja, dengan syarat adanya sama ada penstrukturan syarikat, penutupan syarikat, pembesaran syarikat atau atas kelulusan suatu jawatankuasa yang dikendali oleh Jabatan Tenaga Kerja.
Sementara itu, Saifuddin mengumumkan majikan wajib hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing seperti mana majikan mengurus kemasukan pekerja asing.
Perkembangan ini susulan syor imigresen supaya perihal pengurusan memo periksa keluar pekerja asing diperkasa.
“Kekhilafan atau kegagalan majikan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan sekatan urusan keimigresenan lain,” katanya.