Nanta repot polis tuduhan terlibat skandal rasuah Pan Borneo

Nanta repot polis tuduhan terlibat skandal rasuah Pan Borneo

Menteri kerja raya berkata tuduhan dalam satu akaun Telegram itu sebagai fitnah, tidak berasas dan berniat jahat.

nanta
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi membuat laporan polis berhubung dakwaan membabitkan namanya dalam skandal rasuah melibatkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Menafikan tuduhan itu, Alexander menyifatkan penyebaran tuduhan yang dibuat satu akaun di Telegram tersebut sebagai fitnah, tidak berasas dan berniat jahat.

“Sebagai seorang ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan yang sentiasa menjunjung amanah serta komited menjaga kepentingan rakyat dan negara, tuduhan ini bukan sahaja menjatuhkan imej dan integriti saya, malah turut mencemar reputasi Kementerian Kerja Raya dan kerajaan keseluruhannya.

“Lebih membimbangkan, mesej tersebut bukan sahaja tersebar di Telegram, tetapi turut dikongsikan di pelbagai platform media sosial, sekali gus menimbulkan persepsi negatif dan prasangka dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, laporan dibuat setiausaha sulit kanan beliau di Balai Polis Tun H S Lee di Kuala Lumpur semalam bagi menafikan tuduhan tersebut dan meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dengan segera.

Alexander turut memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes itu.

“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa fitnah tidak boleh menjadi alat untuk menjatuhkan reputasi mana-mana individu, lebih-lebih lagi demi kepentingan politik atau agenda peribadi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.