Yayasan Chow Kit terima sumbangan RM50,000 untuk bantu kanak-kanak rentan

Yayasan Chow Kit terima sumbangan RM50,000 untuk bantu kanak-kanak rentan

Menteri Nancy Shukri ucapkan terima kasih kepada penderma tanpa nama kerana menunjukkan 'rasa tanggungjawab sosial yang kuat'.

check FMT-070525
(Dari kanan) Pengasas Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin, Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez, Menteri Nancy Shukri dan COO FMT Jenn Ngan pada majlis di KPWKM hari ini.
PUTRAJAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri memuji Yayasan Chow Kit dan pengasasnya, Hartini Zainudin, atas usaha gigih mengangkat nasib kanak-kanak dan belia komuniti terpinggir.

“Dedikasi mereka yang teguh untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk masa depan lebih baik benar-benar memberi inspirasi,” kata Nancy kepada FMT, selepas menyampaikan sumbangan RM50,000 daripada penderma tanpa nama kepada Hartini untuk NGO itu, yang disalurkan melalui FMT.

Menteri turut memuji penderma berkenaan, menyifatkan sumbangan itu mencerminkan “rasa tanggungjawab sosial yang kuat”.

“Perkongsian awam-swasta seperti ini memainkan peranan penting dalam mengisi jurang dalam sistem dan memastikan tiada kanak-kanak tercicir,” katanya.

Nancy turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez, kerana menjadi saluran yang membolehkan orang ramai memainkan peranan dalam membantu anggota masyarakat yang tertindas.

Hartini menyampaikan rasa terima kasih kepada kedua-dua penderma dan FMT di atas sumbangan itu, kerana ia akan beri manfaat kepada kanak-kanak di bawah jagaannya dalam usaha mencapai kehidupan lebih baik.

“Misi kami adalah untuk memastikan hak setiap kanak-kanak mendapatkan keselamatan, pendidikan dan masa depan yang lebih cerah, tanpa mengira latar belakang mereka.

“Yayasan Chow Kit beroperasi melalui pendekatan holistik yang mengintegrasikan perlindungan kanak-kanak, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pembangunan komuniti untuk menangani keperluan segera kanak-kanak dan halangan sistemik yang mereka hadapi,” katanya.

Turut hadir pada majlis di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ialah Ketua Pegawai Operasi FMT Jenn Ngan.

Ditubuhkan pada 2007, Yayasan Chow Kit menawarkan tempat selamat untuk kanak-kanak dan belia yang berisiko, menyediakan tempat perlindungan, sokongan pendidikan dan latihan kemahiran hidup.

NGO itu bekerjasama rapat dengan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, berfungsi sebagai pusat ‘drop-in’ yang menawarkan pengayaan pendidikan, kaunseling dan aktiviti rekreasi.

“Ini untuk memastikan kanak-kanak kekal di sekolah dan mengelakkan risiko kehidupan jalanan,” tambah Hartini.

Beliau berkata Yayasan Chow Kit bekerjasama dengan penggubal dasar, pekerja sosial dan pemimpin masyarakat bagi mendesak dasar perlindungan kanak-kanak yang lebih kukuh dan pembaharuan undang-undang, terutama untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan dan tanpa dokumen.

“Usaha kami termasuk bengkel pendidikan mengenai hak kanak-kanak, pencegahan pemerdagangan dan eksploitasi, dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“Melalui inisiatif ini, kami melindungi kanak-kanak daripada bahaya dan memperkasakan mereka untuk memahami dan menyokong hak mereka,” kata Hartini.

FMT secara konsisten mengetengahkan isu melibatkan komuniti terpinggir, terutama kanak-kanak dalam situasi yang rentan, bagi meningkatkan kesedaran tentang keperluan dan kesusahan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.