
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Anwar meminta Dzulkefly meneliti persoalan dibangkitkan MMA mengapa bukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Akta 586) diguna pakai.
“Perdana menteri telah meminta menteri kesihatan segera meneliti isu ini (yang) antara lain dibangkitkan melibatkan penggunaan Akta 723 bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ada dalam kalangan doktor dan MMA bertanya, mengapa Akta (723) itu digunakan, bukan Akta 586. Jadi perdana menteri telah minta perkara ini segera dijelaskan,” kata menteri komunikasi pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Fahmi berkata, beberapa langkah segera diambil pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan pelaksanaan dasar pemaparan harga ubat itu berjaya.
Semalam, presiden terpilih MMA Dr R Thirunavukarasu menggesa kerajaan tidak menyamakan perkhidmatan profesional dengan penjualan barangan di kedai runcit, merujuk tindakan kerajaan menguatkuasakan Akta 723 yang mewajibkan premis perubatan am memaparkan harga ubat mulai 1 Mei.
Thirunavukarasu sebaliknya meminta kerajaan mempertimbangkan guna Akta 586 bagi profesion perubatan, yang menurutnya turut merangkumi ketelusan yang memberi hak kepada pengguna untuk mengetahui harga ubat.
Lebih 300 pengamal perubatan am (GP) mengadakan perhimpunan aman semalam untuk menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi membantah peraturan mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Dalam pada itu, Fahmi hari ini berkata, Dzulkefly juga akan mengkaji semula harga konsultasi klinik swasta.
Katanya, Dzulkefly memaklumkan cadangan penyelesaian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh seminggu dua lagi.
“Hal ini akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya.