PRN Sabah: Anifah umum hasrat tanding DUN Bongawan

PRN Sabah: Anifah umum hasrat tanding DUN Bongawan

Presiden Parti Cinta Sabah itu kalah kerusi tersebut kepada calon Warisan Daud Yusof pada PRN 2020.

anifah
Anifah Aman berkata beliau mahu memperjuangkan hak rakyat Bongawan yang masih dibelenggu masalah kemudahan asas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman mengumumkan hasrat kembali bertanding di DUN Bongawan pada PRN akan datang.

Bekas menteri persekutuan itu berkata, hasratnya bukan semata-mata mahu mencabar penyandang, Daud Yusof daripada Warisan, sebaliknya memperjuangkan hak rakyat kawasan berkenaan yang masing dibelenggu masalah kemudahan asas seperti hospital dan jalan raya.

“Saya hormati beliau (Daud) sebagai rakan tetapi penduduk Bongawan mahukan pembangunan setaraf sebuah daerah penuh.

“Ini telah lama dijanjikan, sepatutnya sudah dinikmati tapi masih belum dirasai,” katanya di Facebook.

Pada PRN16, semua calon PCS kalah di semua 73 kerusi DUN, termasuk ditandingi Anifah di Bongawan.

Mengulas formula pembahagian kerusi antara parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, PRN bukan medan untuk berebut siapa paling banyak kerusi, sebaliknya peluang parti membawa kemenangan.

“Keabsahan kerajaan adalah berdasarkan berapa banyak kerusi yang dimenangi. Perjuangan PCS dalam GRS jelas, kami junjung perjuangan bersama untuk kemenangan bersama.

“Fokusnya bukan jumlah calon tapi yang penting boleh menang kerusi untuk GRS. Semua komponen GRS perlu kekalkan perpaduan demi kestabilan politik dan manfaat untuk negeri dan rakyat,” katanya.

Minggu lalu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Pandikar Amin Mulia, berkata partinya mungkin bergerak solo jika terus diketepikan dalam GRS.

Bekas speaker Dewan Rakyat berkata, Usno diperlekehkan oleh beberapa pemimpin GRS selepas menuntut kerusi untuk ditandingi pada PRN.

Timbalan Ketua Gagasan Rakyat, Bingkor Rafie Robert, berkata mana-mana parti komponen GRS boleh sahaja berundur jika tidak berpuas hati, manakala Timbalan Ketua, Kiulu George Teo, berkata Usno harus bersyukur kerana GRS memberi parti itu talian hayat dengan membenarkannya menyertai gabungan.

Penggal DUN Sabah akan tamat November ini dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dibubarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.