
Pegawai Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md Eusoff, membenarkan dua penjawat awam itu direman empat hari hingga 9 Mei manakala pemilik syarikat direman dua hari hingga 7 Mei selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Sumber berkata, dua penjawat awam masing-masing lelaki dan wanita serta pengarah syarikat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan antara 1 tengah hari hingga 4 petang Isnin.
Katanya, siasatan awal mendapati beberapa pemilik syarikat memberi rasuah kepada beberapa penjawat awam di sebuah majlis perbandaran sebagai balasan membantu mendapatkan tender projek lampu isyarat dan lampu jalan dengan mengemukakan permohonan mengandungi butiran matan palsu.
“Kedua-dua penjawat awam berkenaan dipercayai menerima suapan kira-kira RM3,000 hingga RM5,000 sejak 2016 tanpa perlu membuat semakan terhadap dokumen yang dihantar pemilik syarikat terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Idris Zaharudin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumka kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.
Katanya, operasi dijalankan SPRM itu dalam usaha membanteras rasuah di agensi kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan syarikat yang tidak memenuhi kelayakan dipilih sehingga menyebabkan projek kemudahan awam akan tergendala.