Pelbagaikan sumber dana melalui myWaqafPTPTN

Pelbagaikan sumber dana melalui myWaqafPTPTN

myWaqafPTPTN jadi instrumen untuk individu atau organisasi memberi sumbangan bagi pembangunan pendidikan tinggi negara.

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim menyerahkan sumbangan biasiswa menerusi inisiatif myWaqafPTPTN kepada sebahagian pelajar yang layak dalam satu majlis di Kuala Lumpur, April lalu.
PETALING JAYA:
Wakaf antara instrumen kewangan Islam berperanan dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat termasuk dalam bidang pendidikan bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan memerlukan.

Sumbangan boleh diberikan dalam bentuk wang tunai, tanah dan bangunan, peralatan kemudahan atau dana yang diniatkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup.

Di Malaysia konsep itu semakin berkembang dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara agensi telah mengorak langkah menerusi penubuhan myWaqafPTPTN.

Langkah itu sebagai salah satu inisiatif mempelbagaikan sumber dana bagi pendidikan tinggi selain melalui pinjaman sedia ada. myWaqafPTPTN adalah produk wakaf pendidikan tinggi hasil kerjasama strategik antara PTPTN dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang dilancarkan pada 11 Mac 2024.

Tiga objektif utama penubuhan myWaqafPTPN merangkumi:

1. Pelbagaikan sumber dana untuk pembiayaan pendidikan tinggi selain menerusi pinjaman pendidikan PTPTN sedia ada.

2. Wakaf sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan bagi pembangunan pendidikan negara melalui alternatif bantuan pendidikan berbentuk biasiswa iaitu Wakaf Tunai PTPTN.

3. Mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman pendidikan dan beban bebanan bayaran balik pinjaman atau keberhutangan.

Platform itu membolehkan sumbangan diterima daripada orang ramai, syarikat korporat dan mana-mana organisasi serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara untuk membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi dan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman atau keberhutangan oleh mahasiswa.

Penerima manfaat myWaqafPTPTN terdiri pelajar layak menerima pinjaman PTPTN daripada golongan B40, M40 dan asnaf/ penerima bantuan berdaftar di bawah majlis agama Islam negeri dan tidak terhad kepada penganut Islam.

Paling menarik, setiap sumbangan kepada myWaqafPTPTN layak mendapat potongan cukai 10% daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sejak dilancarkan sehingga Februari 2025, jumlah sumbangan yang telah diterima melebihi RM1.18 juta. Seramai 82 orang pelajar telah menerima biasiswa myWaqafPTPTN melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM984,000.00.

Selain itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menyokong program ini dalam Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2025 pada Februari lalu.

Sementara itu, penerima biasaiswa myWaqafPTPTN menzahirkan rasa syukur dan gembira atas bantuan yang diterima.

Fatin Nur Humaira Abd Rahman.

Pelajar Diploma Pengurusan Logistik dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Fatin Nur Humaira Abd Rahman berkata biasiswa itu sangat membantu dalam mengurangkan beban kewangan beliau dan keluarganya.

“Kurang sikit beban untuk bayar semula pinjaman (pendidikan), bantuan itu dapat membantu pelajar kurang berkemampuan B40,” kata pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

M Harshavardhan.

Seorang lagi penerima dari UPNM, M Harshavardhan turut senada yang biasiswa itu dapat mengurangkan beban keluarga mereka.

“Kini, ramai pelajar terpaksa bekerja sambilan untuk bayar kos pengajian yang tinggi, bantuan PTPTN ini dapat meringankan beban,” katanya.

Muhamad Rida Hafeez Mohamad Johari Abdul Rahman.

Bagi pelajar Diploma Kejuruteraan, Muhamad Rida Hafeez Mohamad Johari Abdul Rahman turut berpendapat bahawa program itu memberi impak besar kepada mahasiswa kerana mereka tidak perlu menanggung hutang selepas tamat pengajian.

“Saya sangat bersyukur kerana menerima biasiswa ini. Terima kasih kepada PTPTN kerana membantu pelajar meneruskan pengajian tanpa perlu risau mengenai kewangan,” ujar pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Bagaimana salur sumbangan kepada MyWaqafPTPTN

Tiga kaedah disediakan kepada individu atau organisasi untuk menyalurkan sumbangan menerusi myWaqaf PTPTN adalah seperti berikut:

1. Melalui laman sesawang rasmi YWM dengan memilih myWaqafPTPTN dalam senarai ‘Wakaf Khas/ Projek’

2. Pindahan ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank (2-12457-6006259-1)

3. Imbas QR DuitNow dikepilkan di bawah.

Berwakaflah melalui myWaqafPTPTN untuk kelangsungan dana pendidikan tinggi kepada generasi akan datang.

PTPTN berharap myWaqafPTPTN menjadi produk wakaf utama pilihan masyarakat dalam usaha membantu lebih ramai golongan mahasiswa terutama generasi akan datang sekali gus memastikan kelestarian pendidikan tinggi selari dengan slogan myWaqafPTPTN, ‘Pendidikan Tinggi Untuk Semua’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.