Pecut lebih 96km, pasangan kekasih positif dadah dikejar 14 MPV polis

Pecut lebih 96km, pasangan kekasih positif dadah dikejar 14 MPV polis

Kedua-dua suspek direman empat hari bagi siasatan bawah Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Dadah Berbahaya.

polis tahan kekasih
Kedua-dua suspek berjaya ditahan di dalam sebuah Proton Wira di Jalan Persiaran Tanjung Langsat, Pasir Gudang, menurut polis. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Sepasang kekasih nekad memandu secara melulu sejauh lebih 96km untuk mengelak diberkas polis di daerah Johor Bahru awal pagi tadi.

Tindakan kedua-dua individu itu mencetuskan kejadian kejar-mengejar melibatkan 14 kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis dari IPD Johor Bahru Selatan, IPD Johor Bahru Utara dan IPD Seri Alam.

Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat, dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu, seorang lelaki berusia 36 tahun didapati memandu sebuah Proton Wira secara mencurigakan, bersama seorang wanita berusia 34 tahun, sebelum dikesan oleh anggota unit kereta peronda polis.

Beliau berkata, walaupun diarahkan berhenti, suspek bertindak terus memandu termasuk melawan arus melalui beberapa lebuh raya dan jalan utama.

“Kenderaan suspek memecut laju dan memandu secara ‘zig-zag’ melalui Lebuhraya Pasir Gudang ke Perling, kemudian ke Lebuhraya Utara-Selatan, berpatah balik ke Lebuhraya Pasir Gudang, sebelum memasuki Lebuhraya EDL, Pusat Bandar, Southkey, Jalan Bakar Batu, Jalan Masai Lama dan akhirnya ke Tanjung Langsat,” katanya dalam kenyataan.

Kenderaan suspek kemudian berjaya ditahan di Jalan Persiaran Tanjung Langsat, tambahnya.

Raub berkata, kedua-dua suspek didapati mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, selain berada bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine ketika kejadian.

“Semakan lanjut mendapati pemandu juga tidak memiliki lesen memandu serta cukai jalan kenderaan tamat tempoh,” katanya.

Kedua-dua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut bawah Kanun Keseksaan, Akta Pengangkutan Jalan serta Akta Dadah Berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.