Menteri pelancongan pertahan dasar bebas visa untuk warga China

Menteri pelancongan pertahan dasar bebas visa untuk warga China

Tiong King Sing berkata pengecualian visa 90 hari untuk warga China membuka lebih banyak peluang perniagaan dan memperluaskan pangkalan pelanggan buat usahawan tempatan.

tiong king sing
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata dasar pengecualian visa 90 hari itu memberi sumbangan ketara terhadap pemulihan ekonomi, khasnya industri makanan dan minuman, hospitaliti, logistik dan perkhidmatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mempertahankan program pengecualian visa 90 hari untuk warga China sambil menekankan keperluan untuk penguatkuasaan lebih tegas berbanding memansuhkan dasar yang memanfaatkan ekonomi negara.

Beliau mengakui segelintir individu mungkin menyalahgunakan sistem bebas visa itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan tidak sah, tetapi kes sedemikian tidak wajar dijadikan alasan yang menggugat dasar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menurutnya, kemudahan perjalanan untuk warga China membuka lebih banyak peluang perniagaan serta memperluaskan pangkalan pelanggan buat usahawan tempatan yang memberi sumbangan ketara terhadap pemulihan ekonomi, khasnya industri makanan dan minuman, hospitaliti, logistik dan perkhidmatan.

“Daripada mempertikaikan pelaksanaan pengecualian visa ini, kita sepatutnya fokus kepada usaha mempertingkat penguatkuasaan dan pemantauan bagi membendung penyalahgunaannya,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Tiong memberi amaran kepada badan bukan kerajaan dan persatuan tidak mempolitikkan atau memanipulasi dasar kerajaan, khasnya yang dirangka selepas kajian terperinci dan kerjasama pelbagai agensi.

“Kritikan menyeluruh yang menolak inisiatif sedemikian tidak bertanggungjawab. Ia menjejaskan usaha dan niat sebenar di sebalik proses penggubalan dasar kita.

“Isu warga asing meraih pendapatan haram bukan hanya berlaku di Malaysia, ia adalah cabaran global,” katanya sambil menggesa usaha difokuskan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi membendung penyalahgunaan sistem bebas visa.

“Agensi penguatkuasaan perlu meningkatkan usaha dan mengambil tindakan tegas terhadap individu melanggar undang-undang. Orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang salah laku kepada pihak berkuasa.”

Kemasukan tanpa visa 90 hari

Pada masa sama, rakyat Malaysia juga akan menikmati kemasukan tanpa visa ke China selama 90 hari, selepas kedua-dua negara melengkapkan prosedur domestik diperlukan di bawah perjanjian pengecualian visa bersama.

Kedutaan China di Malaysia berkata, perjanjian itu akan berkuat kuasa selama lima tahun dan dilanjutkan secara automatik untuk lima tahun berikutnya.

Katanya, perjanjian itu menetapkan tempoh maksimum kumulatif tinggal tanpa visa tidak melebihi 90 hari dalam mana-mana tempoh 180 hari.

Menurutnya, tempoh 90 hari itu tidak termasuk hari yang diluangkan di China menggunakan visa, permit kediaman, dokumen visa lain atau Kad Perjalanan Perniagaan Apec.

Kemasukan tanpa visa tidak akan diberikan kepada mana-mana warga asing yang sudah tinggal selama 90 hari dalam tempoh 180 hari.

“Warganegara China yang datang ke Malaysia juga akan mengikut amalan sama.

“Kami yakin perjanjian ini akan menggalakkan lagi pertukaran antara rakyat, memperkukuh persefahaman bersama dan memperdalam kerjasama pelbagai sektor antara kedua-dua negara dan rakyat apabila ia mula berkuat kuasa,” katanya menurut Bernama.

Perjanjian melanjutkan pengecualian visa antara China dan Malaysia ditandatangani semasa lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.