Lantikan pengerusi baharu SPAN cetus konflik tadbir urus, kata Wan Saiful

Lantikan pengerusi baharu SPAN cetus konflik tadbir urus, kata Wan Saiful

Ahli Parlimen Tasek Gelugor persoal sama ada Abdul Kadir Mohd Din melepaskan jawatan dalam syarikat komersial bawah seliaannya.

Abdul Kadir Mohd Din
Semalam, SPAN mengumumkan pelantikan Abdul Kadir Mohd Din sebagai pengerusi baharu menggantikan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lantikan Abdul Kadir Mohd Din sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa 5 Mei lalu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujud konflik kepentingan dalam tadbir urus sektor air negara.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mempersoalkan sama ada Kadir sudah melepaskan jawatan lain yang mungkin bertindih peranannya sebagai pengawal selia sektor air.

Katanya, seseorang yang memegang jawatan pengawal selia tidak sepatutnya terlibat secara aktif dalam syarikat komersial yang berada bawah seliaannya.

“Itu adalah etika asas untuk memastikan tadbir urus baik dan mengelakkan kolusi, korupsi dan kronisme.

“Kerajaan mesti segera menjelaskan adakah Kadir telah melepaskan semua jawatan berkonflik sebelum dia memulakan tugas sebagai pengerusi SPAN,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam kenyataan.

Semalam, SPAN dalam kenyataan mengumumkan pelantikan Kadir sebagai pengerusi baharu, menggantikan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang tamat kontrak dua tahunnya.

Media melaporkan Kadir adalah pengarah urusan syarikat pengurusan sisa Sacra Sol Sdn Bhd.

Beliau juga dilaporkan bertindak sebagai penasihat Ranhill Holdings Berhad yang mempunyai kaitan dengan Ranhill SAJ Sdn Bhd, iaitu syarikat mengendalikan perkhidmatan air Johor.

“Adakah kerajaan tidak peduli tentang risiko konflik kepentingan apabila pengerusi SPAN juga terlibat secara aktif dalam syarikat yang berfungsi secara komersial dalam sektor dikawal selia oleh SPAN?” soal Wan Saiful.

Kadir berpengalaman lebih 36 tahun dalam sektor air dan kumbahan. Beliau pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) dari 2009 hingga 2016 dan ketua pegawai operasi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dari 2007 hingga 2009.

Beliau juga pernah menjadi presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) dan terlibat dalam pelbagai organisasi berkaitan air di peringkat nasional serta antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.