
Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta yang difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap Wan Azri sebagai defendan atas dakwaan memfitnah, yang turut membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Raam Kumar, yang mewakili Razarudin, mengesahkan mengenai permohonan itu, dan memaklumkan mahkamah menetapkan 9 Mei untuk pendengaran bagi mendapatkan kebenaran berkenaan, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Berdasarkan notis permohonan ‘ex-parte’ yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 5 Mei, plaintif memohon suatu perintah pengkomitan agar defendan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah serta dipenjarakan kerana menghina mahkamah.
Razarudin berkata ini kerana defendan gagal mematuhi syarat untuk memadamkan terbitan video berkaitan fitnah terhadapnya bertarikh 14 dan 15 Jan selain tidak menyiarkan permohonan maaf yang dibacakan di mahkamah pada 30 April di platform media sosial YouTube, TikTok, X dan Telegram milik defendan.
Menurut plaintif, pada 8.30 malam, 1 Mei lepas, defendan dengan sengaja menerbitkan satu video menerusi TikTok dan YouTube, dan kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan bertulis permohonan maaf yang dipersetujui dalam perintah komital sebelum ini.
“Permohonan maaf yang dibuat oleh defendan pada 30 April lepas adalah tidak ikhlas dan tanpa penyesalan meskipun ia dibuat tanpa syarat,” kata Razarudin dalam permohonan itu.
Pada 10 Feb lepas, mahkamah beri kebenaran kepada Razarudin untuk memulakan prosiding komital terhadap Wan Azri kerana didakwa tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan lepas dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta Telegram.
Bagaimanapun, pada 30 April, Wan Azri mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin kerana melanggar perintah injunksi itu.
Injunksi berkenaan melarang Wan Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sama ada dalam kapasiti rasmi sebagai KPN mahupun secara peribadi. Ini termasuk secara bertulis, lisan, video, platform dalam talian atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Azri menarik balik dan memadam video yang dimuat naik pada 14, 15, 20 dan 22 Dis 2024 di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.