21 ketua bahagian PKR Sabah sokong Izzah tanding pimpinan utama

21 ketua bahagian PKR Sabah sokong Izzah tanding pimpinan utama

Mereka yakin dengan ketokohan Nurul Izzah Anwar dalam memartabatkan parti terutama di kalangan generasi muda.

nurul izzah
Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan membuat keputusan terbaik berhubung cadangan akar umbi untuknya bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan 23 Mei ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seramai 21 ketua bahagian PKR Sabah menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar untuk bertanding pimpinan utama pada pemilihan bulan ini.

Dalam kenyataan bersama, mereka yakin dengan ketokohan naib presiden PKR itu dalam memartabatkan parti.

“Kami yakin ketokohan beliau sebagai puteri reformasi mampu memartabatkan imej parti di kalangan generasi muda.

“Memberi harapan dan nafas baru kepada gerakan reformasi dalam menjayakan Gagasan Malaysia Madani,” kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan Mustapha Sakmud (Kota Belud), Peto Galim (Sepanggar), Stefly Said (Kudat), Azmi Datu Tamboyong (Kinabatangan), Joseph Alex Chang (Penampang), Zaidi Jatil (Kot Marudu) dan Lee Li Mei (Kota Kinabalu).

Niki Ramday (Kimanis), Sahrudin A Harol (Sandakan), Fung Thin Yein (Tawau), Dikin Musah (Beaufort), Apirin Jahalan (Ranau), Roslee Malek (Papar), Basran Omar (Beluran) dan Abdul Said Pimping (Libaran.

Rufinah Pengeran (Pensiangan), Romansa Lamin (Silam), Wendey Agong Baruh (Sipitang), Aris Remigius (Batu Sapi), Herbert Roger (Tenom) dan Albani Najawi (Kalabakan).

Jawatan timbalan presiden PKR kini disandang Rafizi Ramli yang mengumumkan akan mempertahankan kedudukan dimenanginya pada pemilihan 2022.

Pemilihan jawatan timbalan presiden PKR menjadi perhatian selepas Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menerima banyak sokongan untuk bertanding.

Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka menyatakan sokongan kepadanya.

Selain itu, pimpinan utama sayap Wanita dan Pemuda PKR turut menyatakan sokongan terhadap Izzah.

Izzah dalam kenyataan hari ini berkata beliau akan membuat keputusan terbaik berhubung cadangan akar umbi untuknya bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan 23 Mei ini.

Bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga disebut bakal bertanding jawatan itu namun beliau sehingga kini belum membuat keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.