
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan insiden yang menimpa lelaki 62 tahun itu pada hari sama.
“Ketika kejadian, senapang patah buatan sendiri itu dikatakan meletup dan terkena jari kelengkeng tangan kanan lelaki itu sebelum kena sisi dada sebelah kanannya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, hasil bedah siasat oleh Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini semalam mendapati punca kematian akibat kecederaan tembakan pada dada dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).
Beliau berkata, enam lelaki berusia 35 hingga 67 tahun, termasuk seorang Orang Asli ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti pemburuan haram, manakala lima senapang patah buatan sendiri dan selaras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur dirampas.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana individu memiliki sebarang senjata api buatan sendiri atau pemilikan tanpa lesen sah.
“Ditegaskan mana-mana individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen sah segera menyerahkan kepada pihak polis sebelum tindakan tegas diambil.”