Status Ahli Parlimen Labuan diputuskan dalam masa terdekat

Status Ahli Parlimen Labuan diputuskan dalam masa terdekat

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti status Suhaili Abdul Rahman.

Kiandee Suhaili
Ronald Kiandee telah menghantar surat kepada Johari Abdul menuntut pengisytiharan kekosongan kerusi Parlimen Labuan disandang Suhaili Abdul Rahman.
KLANG:
Keputusan behubung status Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman akan diputuskan dalam masa terdekat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul.

Beliau berkata surat daripada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee mengenai perkara tersebut telah diterima dan segala perkara sedang diteliti dengan terperinci, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya perlukan masa untuk melihat dan insya-Allah satu keputusan akan dibuat dalam masa terdekat setelah meneliti semua aspek termasuk undang-undang.

“Saya telah menerima surat daripada Bersatu dan saya telah menulis surat kepada Ahli Parlimen Labuan dan saya juga akan berbincang dengan beberapa unit lain, sebab saya tiada maklumat lengkap. Jika semua maklumat lengkap itu diterima, keputusan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perundingan Ke-2 Ahli Parlimen Muda Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (YPA), di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Bersatu telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat menuntut pengisytiharan kekosongan kerusi Parlimen Labuan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April, membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan yang difailkan Suhaili terhadap parti itu.

Suhaili merupakan antara enam ahli Parlimen daripada Bersatu yang dibuang keahliannya pada Jun tahun lepas, kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.