
Irwan, yang menjadi pengerusi 1MDB antara Mei 2016 hingga Mei 2018, berkata beliau sasaran mudah memandangkan sebelum ini merupakan pegawai tinggi kanan penjawat awam dalam Kementerian Kewangan.
Najib yang juga menteri kewangan memegang portfolio berkenaan bermula 2009 sehingga Barisan Nasional tumbang selepas PRU14 pada 2018.
“Jelas bahawa 1MDB mempunyai niat jahat dalam memfailkan tuntutan ini,” kata Irwan dalam pernyataan saksi berkait sebab beliau memfailkan tuntutan balas terhadap syarikat berkaitan kerajaan itu.
Ketika memberi keterangan membela diri terhadap saman 1MDB, beliau berkata syarikat tersebut mahu mensensasikan kesnya dengan membuat dakwaan palsu beliau bersubahat dengan Najib, atas kegagalan menyiasat pihak menyeleweng dana pelaburan milik negara.
“Tuntutan dibuat hanya ke atas saya merupakan pendakwaan terpilih dan dilakukan untuk mencemarkan nama baik saya,” katanya.
Irwan, 68, berkata tindakan 1MDB yang berniat jahat terbukti apabila ia memfailkan tuntutan terhadapnya atas dakwaan melanggar tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB, namun memilih tidak melibatkan ahli lembaga lain pada masa yang berkenaan — Kamal Ali dan Norazman Ayob.
Katanya, kedua-duanya sedar semua keputusan dibuat secara kolektif.
Irwan berkata, beliau juga dimaklumkan 1MDB pada awalnya telah memfailkan satu lagi saman antara lain terhadap ahli lembaga pengarah terdahulu, beberapa pegawai kanan pengurusan serta Najib, berkait kerugian berbilion ringgit dalam bayaran kepada Aabar Investments dan Brazen Sky Investment.
Tetapi, atas sebab hanya diketahui 1MDB, beliau berkata pihak syarikat menarik balik tindakan ke atas pengarah ketika itu, Che Lodin Wan Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat, Ashvin Jethanand Valiram, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Hazem Abd Rahman, dan bekas ketua pegawai kewangan, Azmi Tahir.
“Kemudian, saya sedar melalui laporan media bahawa sebahagian daripada mereka dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan jenayah melibatkan Najib,” katanya.
Irwan berkata, tindakan difailkan 1MDB kelihatan seperti permainan politik, dengan menjadikannya kambing hitam atas kesalahan orang lain.
“Akibat daripada tindakan difailkan, saya telah kehilangan reputasi dan kredibiliti yang telah tercemar. Saya menjadi bahan ejekan dan terpaksa mempertahankan diri saya secara berterusan.
“Kini, amat sukar bagi saya untuk terus memegang jawatan pengarah tertentu kerana orang ramai bersikap ragu-ragu dan berwaspada terhadap dakwaan yang telah dibuat terhadap saya,” tambahnya.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman menuduh bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda dan Irwan atas kesalahan pecah amanah dan konspirasi membawa kepada kerugian USD1.83 bilion, berkait pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd.
Dana berkenaan dikata telah ditukarkan menjadi pelaburan dalam Brazen Sky Ltd dan kononnya diambil semula daripada Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa kedua-duanya pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan dana syarikat sebanyak USD3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company, pada 9 Mei 2017.
Seterusnya, 1MDB mendakwa Irwan bersekongkol untuk melanjutkan perjanjian pekerjaan Arul, sekali gus mengakibatkan pembayaran RM2,905,200 kepada Arul, sambil mengabaikan kepentingan syarikat yang akhirnya membawa kepada kerugian kewangan dan kerosakan.
Syarikat berkenaan menuntut ganti rugi USD6.59 bilion daripada kedua-dua defendan dan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkait lanjutan perjanjian pekerjaan.
Peguam Sanjay Mohan dan Adam Lee mewakili Arul, manakala Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan mewakili Irwan. Lim Chee Wee, Brendan Navin Siva, dan Raphael Kok mewakili 1MDB.
Pendengaran di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung pada 19 Mei.