
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata polis mengesan video tular 22 saat yang dimuat naik ke akaun TikTok @Isa Isarb kira-kira 11.50 pagi semalam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kenderaan mikromobiliti itu diubah suai, dipasang bumbung dan ditunggang seorang lelaki bersama dua pembonceng di persimpangan lampu isyarat Lee Rubber, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin.
“Kita membuat pemeriksaan ke atas sebuah motosikal bernombor plat MDJ1154 yang didaftarkan atas nama Isa Isarb dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti itu.
“Polis menghubungi Isa dan dimaklumkan beliau kini berada di Sabah atas urusan perniagaan hingga Jumaat minggu depan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, Isa mengesahkan akan hadir bersama peguamnya pada 17 Mei nanti untuk membantu siasatan.
Katanya, motosikal itu termasuk dalam kategori kenderaan mikromobiliti yang penggunaannya atas jalan raya awam dilarang mengikut Kaedah 3(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.