Pamer harga ubat bukan mahu jejas operasi swasta

Pamer harga ubat bukan mahu jejas operasi swasta

KKM ambil maklum memorandum diterima dan menekankan penguatkuasaan Akta 723 ke arah wujudkan sistem lebih telus, adil, dan mampan.

doctor protest
Lebih 300 pengamal perubatan swasta berpakaian serba hitam melakukan bantahan aman dekat Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi tadi.
PETALING JAYA:
Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bukan bertujuan menekan atau menjejaskan operasi pengamal perubatan swasta (GP), menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam kenyataan memaklumkan, ia sebaliknya langkah ke arah mewujudkan sistem kesihatan lebih telus, adil, dan mampan, selaras dengan aspirasi kerajaan Madani.

“KKM mengambil maklum mengenai perhimpunan aman oleh kumpulan pengamal perubatan swasta yang diadakan pagi ini di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan Akta 723 berkaitan penandaan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti.

“Kami sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dan inklusif serta sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan telah dan akan terus diadakan bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang dan tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya menurut Bernama.

Pihak KKM bersedia meneliti kandungan memorandum dikemuka dan mempertimbangkan sebarang penambahbaikan dasar berdasarkan bukti dan data semasa.

“Keutamaan KKM adalah untuk memastikan akses kepada ubat-ubatan yang munasabah dan mampu milik serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan negara,” menurut kenyataan itu.

Pada 30 April, KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam kenyataan bersama memaklumkan inisiatif penandaan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti akan berkuat kuasa 1 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.