3 ahli sindiket curi 4×4 ditembak mati

3 ahli sindiket curi 4×4 ditembak mati

Bukit Aman berkata polis terpaksa lepas tembakan balas selepas ditembak dan diserang ahli bersenjatakan parang.

SHUHAILY MOHD ZAIN
Pengarah JSJ Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ketua sindiket yang juga warga asing masih bebas dengan usaha sedang digiatkan bagi menangkap saki baki ahli sindiket. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki maut ditembak susulan melepaskan beberapa das selain menyerang pihak berkuasa dengan parang, dalam serbuan di sebuah rumah inap di Taman Sejahtera, Sik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata serbuan pada 2.30 pagi, 1 Mei lalu dilakukan hasil risikan berkait sindiket curi kenderaan di Melaka, Selangor, Pahang, dan Perak yang diseludup keluar ke sempadan negara.

“Semasa serbuan, tiga suspek berusia antara 35 dan 37 tahun itu telah melepaskan beberapa das tembakan serta menyerang pasukan polis menggunakan parang…bagi mempertahankan keselamatan, polis telah membalas tembakan dan menyebabkan tiga suspek yang mengalami kecederaan parah maut.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis menjumpai dua pucuk pistol, beberapa kelongsong peluru, dan sebilah parang yang digunakan suspek. Semakan turut mendapati ketiga-tiga suspek yang beralamat di Negeri Sembilan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes curi kenderaan,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Kedah, Alor Setar.

Shuhaily berkata, polis juga telah melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan digunakan suspek iaitu jenis Honda CRV yang telah dilaporkan hilang di daerah Petaling Jaya, April lalu.

Dalang warga asing

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 26 nombor plat pendaftaran palsu dan pelbagai alatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan curi kenderaan. Semakan lanjut juga mendapati, sindiket ini bergiat aktif sejak 2023 dan telah terbabit dalam 73 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda (4×4).

“Pada hari yang sama iaitu kira-kira 3 petang, Unit Risikan Sempadan (URS) JSJ, Malaysian Police Liasion Office (MPLO), dan Royal Thai Police (RTP) berjaya menemukan dua kenderaan 4×4 jenis Toyota Hilux yang dicuri dan diseludup keluar ke sempadan melalui jalan tikus oleh sindiket berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, empat warga Thailand berumur antara 34 dan 58 tahun yang berperanan sebagai penghantar kenderaan ke utara negara jiran itu turut ditahan di daerah Sabayoo, Wilayah Songkhla, Thailand.

“Kita juga percayai, ketua sindiket yang merupakan warga asing masih berada di luar sana dan polis sedang mengesan saki baki ahli sindiket ini. Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat terutamanya melibatkan kejadian jenayah curi kenderaan yang berlaku di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April, Shuhaily berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan bahawa kenderaan yang terlibat dalam kes itu menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.

“Polis sedang mengesan kenderaan yang terlibat dalam kes ini tetapi dimaklumkan oleh JPJ bahawa nombor plat pendaftaran yang digunakan palsu.

“Jadi, kita kenal pasti model kenderaan itu dan arahan telah diberikan untuk mencari kenderaan yang menyerupai kenderaan digunakan menerusi pencarian kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan sempadan Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.