Saman fitnah Fahmi terhadap Wan Azri mula 2 Okt

Saman fitnah Fahmi terhadap Wan Azri mula 2 Okt

Fahmi Fadzil juga saman penceramah bebas dan seorang pemilik akaun Facebook atas fitnah salah guna masjid dan langgar titah Sultan Selangor.

FAHMI FADZIL
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi halang defendan ulang atau terbit semula kenyataan fitnah.
PETALING JAYA:
Perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil terhadap tiga individu termasuk Wan Muhammad Azri Wan Deris akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Okt ini.

Saman itu difailkan Fahmi secara berasingan pada 5 Sept 2023 terhadap Wan Azri, penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani, dan pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’ Mohd Fauzan Madzlan berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi ketika ditemui pemberita berkata pada prosiding kes berkenaan hari ini, Hakim Roz Mawar Rozain telah membenarkan permohonan plaintif (Fahmi) supaya ketiga-tiga kes saman berkenaan dibicarakan bersama.

“Mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 3 Okt untuk perbicaraan,” katanya menurut Bernama.

Prosiding berkenaan turut dihadiri peguam Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili Fauzan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Azri pada 1 Ogos tahun sama.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu tidak berasas, dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana difitnah.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi menghalang semua defendan mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.