
Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, disedari hilang oleh ibunya kira-kira 4 petang semalam selepas mendapati remaja itu tiada dalam bilik tidur.
Ketua Polis Kuantan, Wan Zahari Wan Busu, berkata sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 41 tahun memaklumkan Anas Baihaqi masih berada di rumah sekitar 3.30 petang.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pengadu menyedari anaknya tiada, lalu mencarinya di sekitar kawasan perumahan, tetapi gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, semakan awal mendapati remaja itu berkemeja-T merah, seluar trek hitam dan kasut sukan jenama Puma ketika keluar dari rumah.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa pernah menyuarakan dia enggan pulang ke asrama kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga.
“Dia juga didapati membawa bersama telefon bimbit adiknya yang masih boleh dihubungi, namun tiada sebarang jawapan. Remaja itu turut membawa kasut sukan, beg galas sekolah dan wang tunai kira-kira RM200.”
Beliau berkata, ini kali pertama remaja itu dilaporkan hilang dan pihaknya giat menjalankan siasatan serta usaha mengesannya.
“Orang ramai mempunyai maklumat atau terlihat kelibat remaja ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.”