Lelaki didakwa tendang, pukul isteri guna getah paip

Lelaki didakwa tendang, pukul isteri guna getah paip

Daniel Kenneth Abdullah yang mengaku tak bersalah tidak dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah.

dera
Daniel Kenneth Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mencederakan isterinya dengan menendang kaki dan memukul badan mangsa menggunakan getah paip.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isteri dengan menendang dan memukul wanita itu menggunakan getah paip, bulan lepas.

Bagaimanapun, Daniel Kenneth Abdullah, 35, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan, lapor Bernama.

Mengikut tuduhan, Daniel menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berumur 24 tahun dengan menendang kaki kiri serta memukul badan mangsa menggunakan getah paip di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri pada 9 malam, 30 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mengikut Seksyen 326A pula tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mangsa dikhuatiri berada dalam ketakutan kerana masih tinggal serumah dengan tertuduh.

Daniel yang tidak diwakili peguam merayu jaminan diberikan kerana dia menyesal atas perbuatannya itu dan berjanji akan menjaga dua anaknya, masing-masing berumur empat bulan dan setahun serta isterinya yang kini sedang hamil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.