
Timbalan Ketua Polis Selangor Mohd Zaini Abu Hassan berkata, perkara itu diketahui hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mereka adalah lemas akibat beg plastik,” katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan, lapor Bernama.
Mohd Zaini berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes masih disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 26 April lepas, mayat dua bersaudara masing-masing berusia 53 tahun dan 25 tahun itu ditemukan hasil makluman seorang lelaki tempatan yang mengesyaki sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah kakaknya.
Apabila rumah mereka dipecah masuk dengan bantuan bomba, kedua-dua mayat ditemukan terbaring di ruang tamu, dipercayai dibunuh.
Difahamkan kedua-dua mangsa sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan perumahan mereka.