PSM perlu penjenamaan semula untuk jadi kuasa ketiga yang kuat

PSM perlu penjenamaan semula untuk jadi kuasa ketiga yang kuat

Penganalisis berkata PSM mesti menarik ahli merentasi kaum dan kelas selain membuang label 'sosialisnya'.

KS Bawani
KS Bawani daripada Parti Sosialis Malaysia berkempen ketika PRK Ayer Kuning bulan lalu. Beliau memperoleh sebanyak 1,106 undi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Walaupun Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan dirinya sebagai kuasa ketiga dan membina reputasi sebagai pejuang golongan pekerja, ia memerlukan penjenamaan semula jika berhasrat menjadi pencabar politik yang lebih kuat, kata penganalisis

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, biarpun PSM berjaya menggandakan jumlah undinya dalam PRK Ayer Kuning berbanding keputusan PRU 2022, parti itu masih kekurangan sokongan pengundi Melayu.

PSM perlu berusaha menarik sokongan daripada kumpulan pengundi lebih luas bagi meningkatkan kedudukan politiknya, dan tidak hanya lantang memperjuangkan isu membabitkan petani serta pekerja estet.

“Menurut statistik tidak rasmi daripada parti-parti politik, hanya 46 orang Melayu mengundi mereka di Ayer Kuning. Ini menunjukkan stigma terhadap sosialisme masih kuat (dalam kalangan Melayu).

“Untuk menjadi kuasa ketiga yang serius, PSM mesti melalui penjenamaan semula dan mampu menarik ahli daripada pelbagai kaum dan kelas,” katanya.

Dikenali kerana memperjuangkan nasib petani, pekerja ladang dan komuniti terpinggir, PSM hanya pernah memenangi satu kerusi Parlimen iaitu di Sungai Siput apabila Dr Michael Jeyakumar Devaraj dipilih sebagai Ahli Parlimen kawasan itu pada 2008 dan 2013 atas tiket PKR.

Beliau gagal mempertahankan kerusi itu dalam PRU 2018 apabila kalah kepada calon PKR, S Kesavan, selepas PSM gagal mencapai perjanjian pilihan raya dengan Pakatan Harapan.

PSM dan parti belia Muda membentuk pakatan untuk enam PRN pada 2023, namun kedua-duanya kalah teruk apabila semua calon mereka hilang deposit.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, label ‘sosialis’ PSM kekal menjadi halangan utama kerana ramai rakyat Malaysia masih mengaitkan sosialisme dengan komunisme.

Beliau berkata, sosialisme masih ‘sukar diterima terutama dalam kalangan pengundi luar bandar malah di kawasan bandar’.

Katanya, PSM kekurangan logistik, jentera kempen dan tenaga kerja untuk melancarkan kempen yang kuat, walaupun calonnya di Ayer Kuning memperoleh lebih banyak undi.

“Mereka masih sangat terhad dari segi kekuatan berbanding parti politik lain.”

Dalam pada itu, Pengerusi Urimai, P Ramasamy, memuji PSM atas komitmennya menangani ketidaksamaan kelas dan menyifatkan parti itu cemerlang dalam memperjuangkan isu golongan pekerja.

Namun, bekas pemimpin DAP Pulau Pinang itu menasihatkan PSM meluaskan fokusnya, menyatakan ia tidak boleh lari daripada realiti politik Malaysia yang banyak berpusat kepada isu kaum, agama dan budaya.

“Jika mahu menarik sokongan lebih meluas, mereka perlu menangani isu nasional seperti diskriminasi kaum dan budaya. Sosialisme memberi tumpuan kepada ketidaksamaan kelas tetapi diskriminasi kaum juga sebahagian daripada diskriminasi.”

Walaupun fokus PSM terhadap hak tanah dan petani adalah sesuatu yang terpuji, Ramasamy berkata memperluaskan sokongan pengundi dengan menangani isu bandar dan keluhan kaum minoriti boleh mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa ketiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.