
Perdana menteri berkata, kemakmuran dan keselamatan antara kedua-dua negara tidak dapat dipisahkan malah mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dan berpanjangan.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Lawrence Wong atas kejayaan memimpin PAP meraih kemenangan dalam pilihan raya umum Singapura.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda dan pasukan anda dalam meneruskan amanah kepimpinan bagi penggal baharu ini.
“Kita bukan sahaja terikat oleh geografi, tetapi juga oleh hubungan kekeluargaan yang kukuh dan berpanjangan,” katanya di Facebook.
Pada pilihan raya itu, PAP berjaya mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.
PAP memperoleh kemenangan besar dengan 65.57% undi popular, mencatat peningkatan lebih empat mata peratusan berbanding keputusan pada 2020.
Selain itu, Anwar berkata sambil melihat masa hadapan, Malaysia dan Singapura sedang membina kerjasama mendalam di semua peringkat.
“Ia menjadi asas penting dalam menghadapi cabaran besar terhadap situasi global dan perdagangan antarabangsa.
“Bersama-sama, kita berpeluang menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura sebagai contoh cemerlang mengenai apa yang boleh dicapai oleh negara jiran melalui iltizam dan matlamat bersama.
“Kami menantikan peluang untuk memperkukuh hubungan istimewa ini pada masa akan datang,” katanya.