
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau mengarahkan CEO Giat Mara, Ahmad Hamdi Ibrahim, supaya mengambil tindakan segera.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu adalah gurauan kasar sesama pelatih ketika mereka menjalani latihan di Giat Mara Alor Gajah sebelum ini. Kini, mereka semua sedang menjalani latihan industri dalam bidang teknologi kimpalan dan fabrikasi logam,” katanya di Facebook.
Beliau menegaskan Mara tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk perbuatan buli, sama ada secara fizikal atau mental.
Katanya, tiada tempat untuk pembuli di mana-mana institusi pendidikan Mara termasuk Maktab Rendah Sains Mara, Giat Mara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Mara, Kolej Profesional Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Poly-Tech Mara, Mara Japan Industrial Institute, German-Malaysian Institute, Universiti Poly-Tech Malaysia, serta Universiti Kuala Lumpur.
Asyraf berkata pengurusan Mara di semua peringkat memahami prinsip beliau terhadap isu berkenaan, dan tindakan paling tegas akan diambil jika terbukti berlaku salah laku atau jenayah buli.
Baru-baru ini, tular di media sosial video memaparkan seorang pemuda mendakwa terdapat pelatih berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran menjadi mangsa buli di Giat Mara Alor Gajah.
Pemuda berkenaan mendakwa terkejut apabila pelajar OKU terbabit, yang baru dikenalinya di gelanggang badminton, menceritakan kejadian itu kepadanya.
Dalam video berkenaan, mangsa yang sedang baring di atas lantai kelihatan terkejut apabila satu objek berwarna putih dilempar ke arahnya.