Mangsa banjir Sabah meningkat kepada 1,541 orang

Mangsa banjir Sabah meningkat kepada 1,541 orang

Daerah Sook kekal mencatat angka tertinggi apabila 1,340 orang daripada 405 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara.

banjir sipitang
Bilangan mangsa banjir di Sabah terus meningkat apabila seramai 1,541 orang daripada 472 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS setakat pagi tadi. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat apabila seramai 1,541 orang daripada 472 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan setakat 8 pagi ini berbanding 1,243 daripada 375 keluarga pada petang semalam.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, daerah Sook kekal mencatat angka tertinggi apabila 1,340 orang daripada 405 keluarga kini berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS terlibat ialah Dewan Datuk Ellron Agin yang menempatkan 668 mangsa, Dewan Masyarakat Sook (265), Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (206), Dewan Kampung Ansip Tengah (117) dan 84 mangsa di Balai Raya Kampung Molosok Dalit.

Sementara itu, di Beaufort, 175 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon, dan di daerah Sipitang seramai 26 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah.

“Sebanyak 28 kampung terjejas banjir iaitu 10 di Beaufort dan masing-masing sembilan kampung di Sook dan Sipitang,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.