
Fahmi berkata, garis panduan jelas dan pemahaman lebih baik penting jika media ingin mendapat manfaat daripada AI dan bukan menerima kesan akibat penyalahgunaannya, terutama dalam penyebaran maklumat salah dan berita palsu.
“Saya bersedia untuk perbincangan mendalam dengan NUJM, wakil daripada media, badan bukan kerajaan, dan kelab wartawan untuk mengambil pandangan mereka.
“Saya akan cuba jumpa NUJM minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis di Lembah Pantai hari ini.
Beliau berkata demikian selepas NUJM memberi amaran penggunaan AI yang semakin meningkat dalam media membawa peluang dan risiko.
“Kami berharap, dengan majlis media, lebih banyak garis panduan boleh dikeluarkan dan NUJM bersedia untuk menawarkan bantuannya mengenai perkara itu,” kata kesatuan itu.
Penggunaan AI dalam media menjadi tumpuan selepas Sin Chew Daily dikecam berhubung isu ilustrasi Jalur Gemilang yang dijana AI tanpa bulan sabit – kesilapan yang mencetuskan siasatan polis dan penahanan dua editor kanan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi mengalu-alukan kedudukan Malaysia yang meningkat dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025, dalam penilaian terkini Reporters Without Borders (RSF), ke tangga 88 daripada 107 tahun lalu.
Beliau menyifatkan peningkatan itu disebabkan oleh inisiatif baru-baru ini, termasuk pembentangan dan kelulusan Rang Undang-undang Majlis Media.
Namun, katanya, keutamaan kerajaan bukan sekadar penarafan yang lebih baik tetapi membantu industri media menghadapi cabaran semakin meningkat.
“Banyak cabaran, seperti isu pekerjaan dan sama ada AI akan menggantikan peranan wartawan, perlu ditangani segera.
“Laporan RSF memberi kita peluang untuk merenung dan mengukuhkan usaha untuk mempertahankan kehidupan pengamal media,” katanya.
Fahmi juga berkata, kerajaan mesti menyeimbangkan antara kebebasan akhbar dan membendung maklumat salah yang boleh mengganggu ketenteraman awam, terutama yang berkaitan dengan kaum, agama dan raja (3R).
“Rakyat Malaysia dan media mempunyai hak untuk bersuara dan menjalankan tugas mereka dalam melaporkan, tetapi undang-undang sedia ada masih terpakai,” katanya.
Laporan RSF menyatakan skor Malaysia agak lemah dalam perundangan (ke-133) dan konteks politik (ke-92), sambil menambah bahawa penapisan sendiri sekitar isu 3R kekal meluas.