
Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata parti negeri itu tidak berminat bermain permainan politik.
“Kita mesti menjadi parti utama yang mengemukakan penyelesaian jelas terhadap cabaran mendesak Sabah dan membawa kemajuan sebenar,” katanya, sambil menambah parti itu mesti menyampaikan visi untuk Sabah dengan jelas.
Phoong berkata perbincangan mengenai pakatan politik masih terlalu awal, tetapi DAP Sabah kekal terbuka kepada mana-mana parti yang mempunyai arah reformasi yang sama.
Pakatan mesti melangkaui isu kestabilan, katanya. “Sebelum kita bercakap tentang pakatan, mari kita bincang tentang dasar terlebih dahulu.”
Beliau juga menyeru agar parti bergantung kepada statistik bagi membuktikan impaknya dalam kerajaan persekutuan dan negeri demi membuktikan kemampuannya kepada rakyat.
Seruan Phoong itu hadir sehari selepas Presiden SAPP, Yong Teck Lee melahirkan rasa kecewa terhadap perebutan kerusi oleh ahli politik Sabah yang menurutnya menenggelamkan keperluan parti-parti untuk mengemukakan penyelesaian yang jelas.
PKR Sabah baru-baru ini menuduh Barisan Nasional Sabah berbohong mengenai dakwaan adanya perbincangan agihan kerusi bersama PKR.
Perebutan politik itu berlaku susulan spekulasi PRN semakin hampir, dipercayai pada Julai atau Ogos.
Penggal DUN semasa Sabah akan tamat pada 11 Nov ini dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dibubarkan.