
Zaliha hanya memberi jawapan ringkas bahawa perkara itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan Rafizi Ramli.
“Sudah tentu tiada kaitan dengan Rafizi Ramli.
“Sebagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata, cuti itu adalah biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Mampu Milik dan Pengumuman Inisiatif Pemerkasaan Pendidikan untuk Komuniti B40, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sama ada penangguhan yang dilakukan itu mempunyai kaitan dengan Rafizi.
Tambahnya lagi, keputusan penangguhan itu dibuat jawatankuasa pusat dan ia diterima baik semua ahli.
Semalam, Zaliha mengumumkan pencalonan untuk pemilihan MPP parti itu ditangguh dari 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei tanpa memberikan sebarang sebab.
Pemilihan cabang PKR diselubungi dakwaan berlakunya penyelewengan berikutan pelaksanaan sistem pengundian berasaskan ‘blockchain’, dengan parti itu melantik juruaudit bebas untuk meneliti aduan.
Pada pemilihan cabang, beberapa tokoh parti yang dikatakan sekutu Rafizi tewas, termasuk Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, timbalan menteri Akmal Nasir, Adam Adli dan K Saraswathy, selain Ahli Parlimen dan Adun lain.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR pula dilaporkan berkata, tiada masalah Rafizi bercuti, dan berseloroh beliau juga ingin bercuti tidak lama lagi.
Sementara itu, Zaliha berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan juruaudit bebas dilantik untuk meneliti semua proses pelaksanaan pemilihan.
“Kita sebenarnya telah bertemu mereka sepanjang dua hingga tiga hari lepas untuk melihat semua proses itu.
“Kita telah serah apa sahaja yang mereka mahu. Insya-Allah dalam beberapa hari kita akan mendapat laporan,” katanya.