Tunggakan gaji belum dibayar, kata bekas pekerja Kawaguchi

Tunggakan gaji belum dibayar, kata bekas pekerja Kawaguchi

Aktivis hak asasi migran Andy Hall berkata pekerja hanya menerima ansuran pertama RM1,000 pada Januari dan ansuran kedua pada April belum dilangsai.

Foreign workers protesting Kawaguchi
Pekerja syarikat pembekal komponen plastik, Kawaguchi Manufacturing, mengadakan protes di kilang syarikat itu di Pelabuhan Klang pada Disember.
PETALING JAYA:
Lebih 40 bekas pekerja migran Bangladesh membuat aduan rasmi di Bangladesh dan Malaysia terhadap pembekal komponen plastik Kawaguchi Manufacturing berhubung tunggakan gaji, kata seorang aktivis hak asasi manusia.

Andy Hall berkata, pekerja itu menyatakan mereka hanya menerima ansuran bayaran RM1,000 pada Januari. Ansuran kedua yang sepatutnya dibayar pada April belum lagi diterima.

Pengadu adalah antara 251 pekerja yang menerima hampir RM3 juta gaji tertunggak, dalam persetujuan dicapai pada Disember selepas pekerja berkenaan mengadakan bantahan secara aman di kilang syarikat itu di Pelabuhan Klang.

Ada daripada pekerja tersebut tidak menerima gaji selama tujuh bulan tahun lalu.

Jurucakap bagi 22 pekerja yang membuat petisyen kepada Jabatan Tenaga Kerja di Pelabuhan Klang pada Rabu, berkata 12 daripadanya masih tidak mempunyai pekerjaan.

“Kami tidak dapat mencari kerja kerana tempoh visa sudah tamat, bukan salah kami malah kami tidak boleh pulang,” katanya. Pekerja berkenaan terpaksa mengorek simpanan atau meminjam daripada rakan untuk membeli makanan. “Kami juga beli dan berkongsi makanan sesama sendiri,” kata jurucakap itu.

Jabatan Tenaga Kerja Pelabuhan Klang berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan oleh bekas pekerja Kawaguchi Manufacturing. “Pekerja ini boleh memfailkan aduan di Jabatan Tenaga Buruh berdekatan dan mendapatkan status mereka,” katanya jurucakap jabatan itu kepada FMT.

FMT telah menghubungi Kawaguchi untuk ulasan. Panggilan ke nombor milik wakil syarikat seperti diberikan pekerja terjejas itu tidak dijawab.

Kawaguchi Manufacturing membekalkan komponen kepada jenama utama penyaman udara dan elektronik Jepun.

Katanya, 22 lagi bekas pekerja Kawaguchi yang kembali ke Bangladesh telah membuat aduan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekspatriat di Dhaka.

Pekerja di Bangladesh berkata, mereka akan menghantar petisyen kepada Kedutaan Malaysia di Dhaka hari ini bagi isu sama, manakala pekerja di Malaysia berkata, mereka bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh bagi mendapatkan bantuan.

Hall mendakwa, kes Kawaguchi melambangkan perhambaan moden yang sistematik, buruh paksa, kekebalan, rasuah, dan ketiadaan sepenuhnya undang-undang di Malaysia.

“Di peringkat ini saya tidak menaruh harapan tinggi bahawa pegawai di Bangladesh atau Malaysia akan membantu pekerja mendapatkan keadilan dan tunggakan gaji itu. Apa lagi dapat dilakukan pekerja ini selain mengadu kepada pegawai di kedua-dua negara yang sepatutnya melindungi mereka daripada penganiayaan seperti ini,” katanya kepada FMT.

Jabatan Tenaga Buruh dipercayai telah membuka lapan kertas siasatan ke atas Kawaguchi dan penyedia penginapan berhubung gaji tertunggak serta ketiadaan sijil bagi kemudahan penginapan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.