Selangor akan lebih agresif tangani banjir, kata exco

Selangor akan lebih agresif tangani banjir, kata exco

Exco negeri Izham Hashim berkata kerajaan tidak boleh teragak-agak membuat keputusan dalam bantu rakyat.

banjir selangor
Pada 24 April lepas, kerajaan Selangor memutuskan pelaksanaan 11 langkah drastik mitigasi banjir membabitkan kawasan kritikal di Selangor termasuk Taman Sri Muda, Meru dan Taman Seri Alam. (Gambar Bernama)
SABAK BERNAM:
Pembinaan kediaman dan pembangunan kampung tanpa kebenaran merancang merupakan antara isu kritikal dihadapi kerajaan dalam membendung masalah banjir di Selangor, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim.

Beliau berkata data terkini menunjukkan terdapat beberapa kampung yang memerlukan pelaksanaan mitigasi banjir secara drastik bagi mengelak musibah berterusan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Kerajaan negeri akan lebih agresif, kita akan terus bina parit besar atau pintu air sekiranya tiada pilihan lain kerana kita tidak boleh teragak-agak membuat keputusan dalam membantu rakyat menghadapi masalah ini.

“Kita tidak boleh tunggu lagi kerana rakyat menerima kesan yang besar, ditambah pula dengan faktor perubahan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita.

Dalam hal yang sama, Izham berkata pihaknya akan turun padang melihat beberapa kawasan berisiko banjir di sekitar Klang pada Isnin ini bagi mendapatkan gambaran jelas pelaksanaan langkah mitigasi banjir sepertimana yang telah dijadualkan.

Beliau berkata lawatan tapak itu akan membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Kita tidak boleh tunggu, sementara projek utama disiapkan saya akan turun padang dan lihat satu per satu sebelum kita selaras dan laksanakan langkah awal,” katanya.

Pada 24 April lepas, kerajaan Selangor memutuskan pelaksanaan 11 langkah drastik mitigasi banjir membabitkan kawasan kritikal di Selangor termasuk Taman Sri Muda, Meru dan Taman Seri Alam yang sering dilanda banjir.

Terdahulu, Izham menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran bersama Pesawah Sungai Leman sebelum melancarkan teknologi baja Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE) di Dewan Seri Sekinchan, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Briar Resources Sdn Bhd Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.