Perbincangan terhenti jika BN umum ‘poster boy’ sekarang

Perbincangan terhenti jika BN umum ‘poster boy’ sekarang

Penganalisis percaya belum masanya untuk BN namakan 'poster boy' kerana urusan kerjasama menghadapi PRN belum selesai.

Umno Sabah dikatakan mahu mencadangkan ketuanya, Bung Moktar Radin, sebagai ‘poster boy’ BN untuk PRN Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbincangan dengan parti-parti lain berhubung kerjasama menghadapi PRN Sabah akan terhenti sekiranya Barisan Nasional menamakan ‘poster boy’ gabungan itu sekarang.

Mazlan Ali, seorang penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, nampak kewajaran di sebalik kenyataan Presiden Umno, Zahid Hamidi, bahawa belum tiba masanya untuk BN menamakan wajah yang akan terpampang pada poster pilihan raya.

“Ada kemungkinan Zahid mengatakan belum sampai masa tentukan ‘poster boy’ kerana politik Sabah ini dalam situasi belum jelas,” katanya kepada FMT.

Mazlan menjelaskan bentuk kerjasama bagi PRN yang dijangka diadakan tahun ini masih belum jelas, memandangkan gabungan lain turut mempunyai sasaran kerusi masing-masing.

Umno Sabah meletakkan sasaran 40 pada PRN akan datang dan menawarkan 33 kerusi kepada Pakatan Harapan dan rakan kerjasama lain, menurut ketua penerangannya, Suhaimi Nasir. PKR Sabah bagaimanapun berkata PH dan BN setakat ini tidak ada membincangkan agihan kerusi.

Sementara itu, Umno Sabah akan mencadangkan ketuanya, Bung Moktar Radin, sebagai ‘poster boy’ BN, menurut Suhaimi.

Azmi Hassan, felo Majlis Profesor Negara, berkata masa terbaik menamakan ‘poster boy’ adalah selepas urusan berkait kerjasama selesai.

“BN akan pergi solo atau dengan parti lain belum ditentukan,” katanya.

Pada 4 April lalu, Bung berkata BN tidak mengutamakan siapa akan diangkat sebagai ‘poster boy’ kerana semua calon mempunyai kelayakan sebagai ketua menteri.

Sebaliknya, Adun Lamag itu berkata Umno Sabah fokus pada memenangi seberapa banyak kerusi dipertandingkan, bagi memastikan BN dominan dalam menerajui pentadbiran negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.