Pangkalan operasi hadapan bergerak dipertimbang di perairan Semporna

Pangkalan operasi hadapan bergerak dipertimbang di perairan Semporna

Menteri Pertahanan Khaled Nordin kata konsep bergerak beri kesinambungan kekuatan kepada operasi keselamatan di Sabah.

Pangkalan yang dikendalikan tentera laut di pantai timur Sabah main peranan besar dalam kawalan keselamatan. (Gambar TLDM)
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang mempertimbangkan pangkalan operasi hadapan bergerak di perairan Semporna, Sabah bagi menggantikan Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah.

Menteri Pertahanan Mohamad Khaled Nordin berkata konsep bergerak memberi kesinambungan kekuatan kepada operasi keselamatan di Sabah berbanding pangkalan sedia ada yang berbentuk statik.

“Kita sedar bahawa peranan yang dimainkan pangkalan operasi hadapan ini sangat penting,” katanya, lapor Bernama, selepas melawat Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah.

Khaled berkata pangkalan yang dikendalikan tentera laut itu main peranan besar dalam mengawal keselamatan di pantai timur Sabah, menyaksikan kejadian penculikan dan pencerobohan berada di tahap minimum.

Menteri berkata cabaran dan ancaman yang ditangani di timur Sabah bersifat berterusan, termasuk kumpulan pengganas.

“Kita juga ada jenayah rentas sempadan, penculikan, pencurian hasil laut, termasuk perdagangan manusia. Semua ini cabaran dan ancaman berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Khaled mengumumkan radar akan ditambah bagi pengawasan yang lebih berkesan di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.