Khidmat kereta api terus KL-Bangkok hidup semula tahun ini, kata Loke

Khidmat kereta api terus KL-Bangkok hidup semula tahun ini, kata Loke

Perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan segera kerana sudah ada landasan hubung Bangkok-Padang Besar-Butterworth-KL, kata menteri pengangkutan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengadakan lawatan kerja sehari ke Thailand yang berakhir hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia dan Thailand berhasrat menghidupkan semula perkhidmatan kereta api terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok tahun ini, kata Loke Siew Fook.

Menteri pengangkutan itu berkata, perkhidmatan kereta api terus dapat dilaksanakan dengan segera kerana sudah ada landasan kereta api menghubungkan Bangkok-Padang Besar-Butterworth-Kuala Lumpur.

Sebaliknya, katanya, hanya koordinasi, pemasaran serta penjualan tiket secara kerjasama antara kedua-dua negara diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dan State Railway of Thailand (SRT) telah diberikan tempoh tiga bulan untuk membuat persiapan awal bagi memulakan operasi perkhidmatan Kuala Lumpur-Bangkok,” katanya selepas mengakhiri lawatan kerja sehari ke Thailand hari ini, lapor Bernama.

Terdahulu, Loke mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand Suriya Juangroongruangkit.

Beliau turut melawat Stesen Bang Sue Central Terminal dan mendengar taklimat mengenai perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.

Sementara itu, Loke turut memaklumkan, Thailand mencadangkan sambungan perkhidmatan kereta api dari Sungai Golok ke Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Beliau menyifatkan cadangan ini sebagai langkah positif yang berpotensi meningkatkan ekonomi dan pendapatan penduduk setempat.

“Kita perlu masa untuk membuat persediaan bagi menghidupkan semula landasan antara Sungai Golok, Rantau Panjang, dan Pasir Mas ini,” katanya.

“Ini kerana projek pemuliharaan trek perlu dilakukan terlebih dahulu ke atas landasan kereta api di Rantau Panjang dan Sungai Golok yang sudah lama tidak digunakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.