
Mengulas notis penguatkuasaan kerajaan Sarawak kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan langkah ConocoPhillips keluar daripada projek Salam-Patawali, Jaziri Alkaf A Suffian berkata perkembangan itu menunjuk pada tanda-tanda adanya isu-isu struktur lebih mendalam yang perlu diberi perhatian segera.
“Peristiwa-peristiwa ini bukan terpencil. Apabila tindakan penguatkuasaan berbetulan dengan pemain utama menarik diri, ia memberi isyarat bahawa tiada penjajaran dalam persekitaran kawal selia kita. Itu boleh menggoyahkan keyakinan pelabur,” katanya kepada FMT.
Jaziri berkata matlamat pembangunan Sarawak bergantung pada kepercayaan jangka panjang pelabur, daripada prasarana hinggalah kepada inovasi.
Jaziri akui hak Sarawak untuk mengawal sumber aslinya, namun kawalan itu mesti disokong oleh undang-undang yang telus dan pasti.
“Autonomi dan kejelasan mesti bersekali. Pelabur tentu mahu tahu bahawa aspirasi Sarawak disokong oleh undang-undang yang koheren dan perkongsian yang stabil dengan institusi persekutuan — bukan siri peraturan yang bertindih atau bercanggah,” katanya.
Jaziri menambah Petroleum Sarawak Bhd (Petros) milik kerajaan negeri tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing syarikat minyak negara, Petronas.
“Petros tidak sepatutnya dilihat sebagai seteru. Ia mekanisme untuk Sarawak mengurus bekalan gas sendiri, bukan untuk mewujudkan pergeseran,” katanya.
“Tetapi ia mesti disepadukan ke dalam rangka kerja nasional yang masuk akal kepada pelabur dan rakan kongsi.”
Beliau menarik perhatian pada perjanjian lima perkara antara Petros dan Petronas yang baginya titik permulaan yang baik untuk kerjasama.
Ia meliputi pengiktirafan undang-undang bersama, peranan Petros sebagai agregator gas (tidak termasuk LNG), tiada lesen negeri tambahan untuk Petronas, dan perlindungan kontrak sedia ada, antara lain.
“Lima perkara itu beri kita asas untuk bina,” kata Jaziri.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah mesej yang jelas dan konsisten daripada kerajaan persekutuan dan negeri bahawa Sarawak terbuka untuk perniagaan – di bawah peraturan yang adil, jelas dan stabil.”