Wan Fayhsal bimbang sokongan Melayu hampir tepu

Wan Fayhsal bimbang sokongan Melayu hampir tepu

Ahli MPT Bersatu berkata PN perlu ada strategi fleksibel memenangi hati golongan pertengahan khususnya pengundi bukan Melayu pada PRU16.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata trend pengundian Melayu dilihat tepu dalam beberapa PRK selepas PRU15.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) perlu mempunyai strategi lebih fleksibel atau anjal untuk memenangi hati golongan pertengahan khususnya pengundi bukan Melayu untuk menang PRU16, kata pemimpin Bersatu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata pendekatan itu perlu untuk mengimbangi kebimbangan trend sokongan pengundi Melayu yang hampir tepu berdasarkan beberapa keputusan PRK.

Menurut wakil rakyat Machang itu, PN kini memiliki majoriti sokongan orang Melayu dan Bumiputera yang diterjemahkan dengan kemenangan di 74 kerusi Parlimen pada PRU15.

Namun, jumlahnya kini berkurangan kepada 68 selepas enam wakil rakyat Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita pun nampak sebenarnya dalam siri-siri PRK, trend pengundian dan sokongan orang Melayu hampir tepu.

“Ini membimbangkan kalau PN tiada strategi lebih fleksibel atau anjal memenangi hati dan kepercayaan golongan pertengahan khususnya pengundi bukan Melayu,” katanya dalam wawancara FMT.

Sebanyak 11 PRK diadakan selepas PRU15 yang menyaksikan PN menang tiga kawasan manakala tujuh lagi dikuasai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selain satu oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah, BN turut merampas DUN Nenggiri yang dimenangi PN pada PRN 2023

Bagi menangani kebimbangan itu, Wan Fayhsal berkata PN perlu menggunakan Bersekutu Bersatu, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk meraih sokongan bukan Melayu.

“Saya nampak kekuatan kami saat ini belum cukup untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu, banyak kerja perlu dilakukan yang turut bergantung visi serta dasar PN tawarkan untuk pembangunan semua rakyat Malaysia.

“Tanpa ada naratif jelas daripada soal ini, saya tak yakin PN mampu menawan hati pengundi bukan Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.