
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam suratnya bertarikh 30 April, menuduh anak syarikat Petronas melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Dalam surat itu, Carigali didakwa mengoperasikan loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) tanpa lesen dikeluarkan negeri dan diberikan 21 hari menyelesaikan perkara berkenaan, jika gagal akan dikenakan penalti kewangan bawah Seksyen 21A.

Jamil Ghani, bekas pegawai Malaysia Petroleum Resources Corporation, memberi amaran tindakan itu boleh membawa pertindihan peraturan antara kerajaan persekutuan dan negeri yang sukar diurus.
“Kemudahan MCOT telah beroperasi di bawah mandat persekutuan berdekad lamanya. Jika Petronas pun kini perlu memohon lesen negeri, apa yang menghalang negeri-negeri lain daripada menuntut perkara sama? Ini mewujudkan satu duluan yang berbahaya.
“Ini memperagakan satu senario di mana setiap negeri mungkin mula mewujudkan syaratnya sendiri. Itu adalah mimpi ngeri dari segi peraturan,” katanya kepada FMT.
Jamil berkata, surat tersebut menjejaskan inti pati pengumuman perjanjian persekutuan-negeri dibuat awal tahun ini.
“Apa yang perdana menteri bentangkan di Parlimen merupakan perundingan seimbang di mana undang-undang persekutuan dan negeri wujud bersama. Surat itu seolah satu peralihan – daripada kewujudan bersama kepada konfrontasi,” katanya.
Pada 17 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Parlimen kerajaan persekutuan dan Sarawak bersetuju ke atas beberapa prinsip utama mengenai urus tadbir gas di negeri berkenaan.
Antaranya, memperakui Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) kekal undang-undang utama berhubung aktiviti minyak dan gas di seluruh negara, termasuk di Sarawak. Sementara itu, hasrat negeri mengawal selia aktiviti gas hiliran melalui DGO turut diiktiraf.
Turut dipersetujui, Petronas dan anak syarikatnya akan mengekalkan semua obligasi kontrak sedia ada, termasuk perjanjian bekalan antarabangsa yang telah lama terjalin. Entiti Petronas juga dikecualikan daripada keperluan mendapatkan lesen tambahan bagi menjalankan operasinya di Sarawak, selain daripada dinyatakan dalam PDA.
Jamil berkata, rundingan terbabit dibuat bagi menjamin kestabilan.
“Ia sepatutnya menyelesaikan isu ini – Petronas ditadbir oleh undang-undang persekutuan dan DGO perlu dibaca bersama dengan PDA, bukan bertentangan dengannya. Ia bertujuan untuk mengiktiraf peranan Sarawak tanpa menjejaskan kedudukan Petronas menurut undang-undang.
“Jadi apabila Sarawak berpatah balik dan berkata: ‘Sekarang anda perlu dapatkan lesen atau kami akan kenakan denda’, ia mencetuskan kekeliruan,” katanya.
Premier Sarawak Abang Johari Openg menekankan negeri berkuasa penuh terhadap aktiviti pengedaran gas dalam wilayahnya.
Katanya, sebarang perjanjian dimeterai Petronas tidak seharusnya ‘menjejaskan peranan Petros sebagai pengagregat gas’ atau bercanggah dengan undang-undang negeri. Beliau juga menegaskan sumber asli Sarawak ‘mesti diurus mengikut undang-undang diluluskan DUN Sarawak’.
Selain isu undang-undang, Jamil berkata pertikaian yang berterusan memberi isyarat salah kepada pelabur. “Pelabur sedang memerhatikannya dengan teliti. Jika pihak berkuasa persekutuan dan negeri bertindak mengikut arah berbeza, ia akan menjejaskan keyakinan tadbir urus tenaga di Malaysia.”
Katanya, situasi tersebut jika dibiar tanpa penyelesaian, boleh meningkat ke tahap kes uji Perlembagaan
“Jika Petronas mencabar penguatkuasaan ini di mahkamah, badan kehakiman perlu mentafsir sama ada PDA mengatasi DGO atau sebaliknya. Itu akan mencipta satu duluan bagi semua negeri pengeluar minyak.”
Walaupun Petronas tidak memberi maklum balas terbuka menjawab surat 30 April itu, sumber terdekat dengan perkara berkenaan berkata, pihak syarikat secara senyap membuat perundingan dengan pegawai persekutuan dan negeri demi mengelak peningkatan ketegangan.
Jamil berkata, hanya penjelasan bersama persekutuan-negeri diperlukan untuk memulihkan keyakinan.
“Perlu ada kenyataan jelas dan bersama daripada kedua-dua kerajaan untuk menjelaskan perkara dipersetujui. Ini bukan hanya mengenai lesen – ia mengenai melindungi kepastian undang-undang dalam satu sektor terpenting di Malaysia.
“Yang dipertaruhkan bukan hanya pematuhan kepada ordinan negeri, tetapi asas bagaimana Malaysia menguruskan sumber minyak dan gasnya mengikut sistem persekutuan. Itu tidak boleh dibiarkan samar,” katanya.