
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata, pencalonan ditangguhkan dari 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei.
“Proses (pencalonan) ini akan dilaksanakan sepenuhnya dalam talian,” katanya dalam kenyataan tanpa memberikan sebab pencalonan ditangguhkan.
Pemilihan cabang PKR diselubungi dakwaan berlakunya penyelewengan berikutan pelaksanaan sistem pengundian berasaskan ‘blockchain’, dengan parti itu melantik juruaudit bebas untuk meneliti aduan.
JPP telah mengadakan pemilihan baharu bagi empat cabang berikutan bantahan oleh calon yang kalah dan penemuan bahawa seorang pemenang masih ahli Pejuang.
Pada pemilihan cabang, beberapa tokoh parti tewas, termasuk Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, timbalan menteri Akmal Nasir, Adam Adli dan K Saraswathy, selain Ahli Parlimen dan Adun lain.
Beberapa tokoh penting ini dikatakan sekutu menteri ekonomi, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang dilaporkan bercuti ‘selama beberapa hari’. Ini susulan laporan Malaysiakini menafikan Rafizi meletak jawatan sebagai menteri.
Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR berkata, tiada masalah Rafizi bercuti, dan berseloroh beliau juga ingin bercuti tidak lama lagi.