
Bagaimanapun, Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim berkata, dalam permohonannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini, perdana menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan kehakiman tanpa terikat atau tertakluk pada syor JAC.
Syed Amir yang mencabar keperlembagaan Akta JAC 2009 berkata, perdana menteri boleh melaksanakan fungsi itu bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perkara 122B, hakim dan pemegang jawatan pentadbiran hendaklah dilantik oleh Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Syed Amir berkata, beliau bukan berniat menggantung atau melumpuhkan proses pelantikan kehakiman, mahupun menghalang pelaksanaan fungsi perlembagaan perdana menteri atau Agong.
“Sebaliknya, permohonan ini hanya bertujuan mengelak sebarang kebergantungan atau pelaksanaan lanjut rangka kerja undang-undang yang dicabar itu sementara menunggu keputusan muktamad mahkamah,” katanya.
Syed Amir memberitahu FMT, salinan permohonan penangguhan yang belum dimeterai telah diserahkan kepada defendan, iaitu kerajaan dan JAC, serta Majlis Peguam yang dibenarkan sebagai pencelah.
Dalam tuntutan utamanya yang difailkan bulan lepas, Syed Amir menegaskan, kuasa yang diberikan kepada sembilan anggota JAC melanggar doktrin pengasingan kuasa dan struktur asas Perlembagaan.
Beliau memohon perintah mandamus agar perdana menteri dan kerajaan mematuhi secara ketat proses pelantikan kehakiman yang ditetapkan bawah Perkara 122B.
Beliau mendakwa, Akta JAC tidak konsisten dengan Perkara 4, yang menyatakan bahawa perlembagaan bertulis ialah undang-undang tertinggi negara.
Bawah Akta JAC, suruhanjaya itu mencadangkan pencalonan hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Suruhanjaya itu turut mengesyorkan calon bagi jawatan ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, hakim besar Malaya, dan hakim besar Sabah dan Sarawak.
Hakim Amarjeet Singh menetapkan 16 Julai untuk mendengar tuntutan utama.