Kekuatan geoekonomi Malaysia terkesan jika Petronas lemah

Kekuatan geoekonomi Malaysia terkesan jika Petronas lemah

Wan Ahmad Fayhsal kata Petronas mesti diberi sokongan padu untuk memacu pengaruh Malaysia di pentas global.

petronas-HQ
Petronas beroperasi di lebih 50 negara, dengan projek minyak, gas dan LNG utama di Afrika, Amerika Selatan, Kanada dan Asia-Pasifik. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Walaupun Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) sediakan asas kukuh untuk menjana hasil bagi menyokong pembangunan negara, ia perlu diperkukuhkan lagi lantaran cabaran geoekonomi memuncul termasuk perang perdagangan Donald Trump, menurut seorang pemimpin pembangkang.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata Petronas, sebagai institusi terkemuka Malaysia, memerlukan sokongan padu untuk mengekalkan peranan penting sebagai pemain global jangka panjang, di samping menyumbang kepada perbendaharaan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Petronas bukan sahaja menjana pendapatan untuk negara, ia juga mengasah bakat, kepakaran dan saluran diplomatik yang kukuh untuk Malaysia berkembang ke luar negara.

“Ia adalah satu-satunya syarikat multinasional (MNC) tempatan yang berkembang menjadi syarikat transnasional, dengan operasi di lebih 50 negara, dan salah satu sumber pendapatan terpenting bagi negara kita,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata Petronas juga mencipta banyak peluang untuk perniagaan Malaysia yang lain dengan memperkenalkan mereka kepada pasaran baharu.

“Petronas tidak berpuas hati dengan hanya menjadi pemain tempatan kerana mereka telah membuktikan kemampuan beraksi di padang yang lebih besar di luar, seperti Afrika dan Amerika Selatan.

“Apabila Petronas berkembang ke luar negara, ia buka pintu kepada PKS kami untuk menembusi pasaran tersebut kerana kami mempunyai jaguh negara yang bertindak sebagai ‘battering ram’, memajukan kepentingan Malaysia secara agresif ke luar negara,” katanya.

Petronas beroperasi di lebih 50 negara, dengan projek minyak, gas dan LNG utama di seluruh Afrika, Amerika Selatan, Kanada dan Asia-Pasifik, mengukuhkan reputasi sebagai salah satu syarikat minyak terkemuka di dunia.

Rangkaian perniagaannya yang luas dan pertumbuhan berterusan, serta pematuhan ketat pada keperluan tadbir urus korporat, meletakkannya pada kedudukan 167 dalam senarai Global Fortune 500, satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai.

Pengaruh serantau

Wan Fayhsal berkata penghargaan pada nilai Petronas dari segi geoekonomi melangkaui Malaysia, dan kepada negara Asean yang lain.

“Sebagai bekas kakitangan Petronas, saya tahu ketika Indonesia berdepan krisis kewangan 1998, Petronas salah satu institusi yang membantu.

“Negara (Indonesia) teruk terkesan, dan Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin, dan anggota Jemaah Menteri lain memanfaatkan sumber Petronas untuk membantu, termasuk melalui pembelian bekalan makanan untuk jiran kita,” katanya.

Wan Fayhsal berkata ini satu contoh sumbangan Petronas melangkaui sempadan Malaysia untuk memberi manfaat kepada rantau yang lebih luas.

Beliau berkata kejayaan Petronas di luar negara juga meningkatkan reputasi Asean di peringkat global.

“Apabila perniagaan asing membiasakan diri dengan syarikat Malaysia seperti Petronas, mereka juga lebih berkemungkinan untuk melibatkan diri dengan rakan kami dalam Asean,” katanya.

Wan Fayhsal berkata Petronas menetapkan standard dan model yang kukuh untuk syarikat Asean, mempamerkan potensi rantau ini untuk bersaing di peringkat global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.