‘Jangan malu dengan pekerjaan sendiri’, porter perah kudrat demi rezeki

‘Jangan malu dengan pekerjaan sendiri’, porter perah kudrat demi rezeki

Jvy Mius Belinting, 28, antara 'wira' gunung yang sanggup menempuh cabaran memikul beban berpuluh kilogram di Gunung Kinabalu.

porter gunung kinabalu
Jvy Mius Belinting gigih mencari rezeki sebagai porter yang membawa beban puluhan kilogram di Gunung Kinabalu.
PETALING JAYA:
Gempa bumi yang meragut 19 nyawa pendaki Gunung Kinabalu dalam kejadian kira-kira 10 tahun lalu pastinya menjadi mimpi ngeri yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh penduduk Sabah.

Tragedi itu meninggalkan kesan mendalam, termasuk kepada wira gunung termasuk porter dan malim yang sehingga masih lagi dihantui saat cemas itu ketika dikejutkan dengan gempa sekuat 5.9 skala richter pada 5 Jun 2015.

Bagi Jvy atau nama sebenarnya Jvy Mius Belinting, 28, dia tidak menafikan perasaannya kini berbeza setiap kali naik ke Laban Rata untuk menggalas beban berpuluh kilogram.

Katanya, dalam tugasnya, tragedi dan cuaca adalah cabaran besar yang perlu diharungi dengan semangat dan sifat keberanian yang tinggi, tanpa mengabaikan soal keselamatan.

“Saya antara yang terawal naik ke Laban Rata untuk menghantar barang selepas tragedi gempa bumi itu berlalu, saya akui perasaannya sedikit berbeza.

“Bagi saya, apa jua cabaran ia tetap perlu diharungi terutama ketika menempuh cuaca sejuk, hujan, angin kuat. Saya juga pernah mengangkut barang hingga berdarah hidung dan telinga selain anggota badan kebas akibat kesejukan,” katanya.

Menurut Jvy, mengerah kudrat untuk mengangkut pelbagai barangan ke Laban Rata yang berketinggian 3,272 meter dari paras laut adalah rutin biasa yang perlu ditempuhnya.

porter kinabalu
Jvy Mius Belinting atau dikenali Jvy mula menjadi porter sejak lapan tahun lalu, namun kini melakukan secara sambilan kerana telah melanjutkan pengajian.

“Gunung Kinabalu ini antara gunung yang paling aktif menerima pengunjung. Jadi, setiap hari kami diperlukan untuk mengangkut barang ke atas.

“Dulu mereka menggunakan helikopter tetapi kosnya terlalu mahal.

“Kami dibayar ikut berat barangan iaitu RM5.50 sekilogram. Setiap hari kami akan pikul 25 hingga 45 kilogram. Saya sendiri pernah mengangkut meja, televisyen besar, serta kabinet dapur,” katanya.

Selain itu, Jvy juga tidak ketinggalan merakam kepayahan yang dilaluinya bersama rakan lain setiap hari hingga videonya pernah menjadi tular ketika negara dilanda Covid-19.

Katanya, ia secara tidak langsung memberinya semangat untuk menghasilkan lebih banyak video mengenai cabaran dan dugaan serta pengalamannya di puncak gunung.

“Pada mulanya saya cuma ingin berkongsi kepayahan kerja kami dengan masyarakat. Ia memerlukan tenaga yang banyak untuk mengangkut barang naik ke Laban Rata.

“Bukan semua yang mendaki ini hanya melakukan sekadar hobi tetapi ada yang menjadi sumber rezeki dan bergantung hidup dengannya,” katanya.

Menceritakan pengalaman awalnya, Jvy berkata dia didedahkan kepada pekerjaan itu seawal usia 12 tahun lagi menerusi keluarganya, sebagai sumber mata pencarian utama.

Katanya, sebaik tamat persekolahan, dia terus melakukannya hingga mampu menanggung pengajian adik bongsu yang kini bergelar sebagai seorang guru.

“Adik bongsu adalah pembakar semangat saya. Menerusi pekerjaan ini, saya dapat menanggung pengajiannya hingga jadi guru.

“Hasil daripada pekerjaan ini jugalah, kami dapat membeli sebuah motosikal dan kereta untuk kegunaan keluarga,” katanya yang berasal dari Kampung Waang, Ranau.

Jvy berkata tugas porter juga satu pekerjaan yang luar biasa kerana bukan semua mampu melakukannya biarpun ada yang menganggapnya sebagai pekerjaan yang ‘tiada masa depan’.

“Jangan malu dengan apa jua kerja yang kita lakukan. Setiap orang ada peranannya untuk membantu ekonomi negara,” katanya yang kini berhijrah ke Kuala Lumpur demi segulung ijazah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.