Eksport durian Malaysia ke China diunjur naik 15-20%

Eksport durian Malaysia ke China diunjur naik 15-20%

Permintaan daripada pengguna di China terus mengatasi bekalan terutama bagi baka premium seperti Musang King dan D24.

durian
Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia jangka keseluruhan jumlah eksport durian tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lepas, iaitu meningkat 15% hingga 20%. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah eksport durian Malaysia ke China dijangka meningkat antara 15% dan 20% tahun ini didorong permintaan mampan, di sebalik cabaran cuaca baru-baru ini.

Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia di China berkata permintaan daripada pengguna di China terus mengatasi bekalan terutama bagi baka premium seperti Musang King dan D24.

“Walaupun hujan lebat di Malaysia mengakibatkan buah gugur sebelum waktunya, saya menjangkakan keseluruhan jumlah eksport tahun ini meningkat 15% hingga 20% lebih tinggi berbanding tahun lepas,” kata Pengerusi Loh Wee Keng, lapor Bernama.

Loh berkata Musang King Malaysia terus menarik minat yang tinggi, khususnya dalam kalangan pelanggan buah-buahan premium di China.

“Ketika ini, amat mustahil untuk mendapatkan Musang King Gred A di bawah RM30 sekilogram pada harga ladang,” katanya.

“Pada luar musim seperti Mei, harga boleh meningkat kepada RM80 sekilogram. Bagi D24 pula, harga paling rendah adalah kira-kira RM15 sekilogram.”

Loh berkata 15 tahun lepas harga ladang bagi Musang King sejuk beku adalah kira-kira RM25 sekilogram, dan boleh turun serendah RM12 sekilogram ketika musim puncak.

Manakala bagi D24 sejuk beku, harga tertinggi boleh mencecah RM15 sekilogram dan paling rendah RM3 sekilogram.

Kementerian Pertanian China melaporkan negara itu mengimport 19.25 juta kg durian dari Malaysia, berjumlah USD212.05 million (RM1 billion) antara Januari dan Disember 2024.

“Kami tidak bersaing dengan durian dari Thailand kerana harga dan kualiti merupakan perkara berasingan,” katanya.

“Kami sebenarnya bersaing dengan buah kiwi dan ceri selain produk dari Jepun seperti anggur dan strawberi.”

Mengulas percubaan menanam Musang King di Hainan, China, Loh berkata hasilnya tidak sepadan dengan standard durian yang ditanam di Malaysia.

“Rasanya berbeza kerana tanah dan iklim,” katanya.

“Musang King Hainan tidak dapat menggantikan yang asli dari Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.