Ahli MKT Umno tepis ‘spekulasi’ susulan dakwaan letak jawatan

Ahli MKT Umno tepis ‘spekulasi’ susulan dakwaan letak jawatan

Yakub Khan kata sebarang masalah boleh diselesaikan secara rundingan.

Ahli MKT Yakub Khan
Ahli MKT Yakub Khan buat penafian susulan dakwaan beliau letak jawatan MKT. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Yakub Khan, menepis spekulasi susulan dakwaan beliau meletak jawatan.

“Itu hanya spekulasi orang yang ketandusan idea dan mahu memecahbelahkan Umno,” katanya kepada FMT, Ketika ditanya sama ada beliau serah surat letak jawatan MKT.

Menegaskan kesetiaan kepada Umno, Yakub berkata sebarang masalah boleh diselesaikan secara rundingan.

“Umno ada meja perundangan untuk menyelesaikan apa jua masalah,” katanya.

Terdahulu, laman Suara.TV melaporkan terdapat desas-desus bahawa Yakub menghantar surat letak jawatan dua minggu lalu kepada Presiden Zahid Hamidi, kerana tidak puas hati dengan cara Umno pusat kendali perbincangan Kerjasama politik bagi PRN Sabah.

Menurutnya, ketidakhadiran Yakub dalam mesyuarat MKT Umno pada 30 Apr lalu menyumbang kepada desas-desus tersebut.

Sumber dipetik Suara.TV mendakwa kekecewaan timbul kerana Umno Sabah tidak dimaklumkan hasil perbincangan antara dua wakil Umno pusat dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Hajiji Noor.

“Pada hari mesyuarat majlis tertinggi sebelah petang saya dan pasukan Umno Sabah ada bersama presiden, dan saya telah maklumkan yang saya tidak dapat menghadiri mesyuarat sebab kena balik Sabah malam itu juga,” kata Yakub.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.